SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat proses berkaitan kelewatan pengagihan baja kepada pesawah di Kedah.
Anwar berkata, kelewatan itu menjejaskan pesawah yang sudah menyuarakan kebimbangan dan menyerahkan memorandum kepadanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengenal pasti punca kelewatan berkenaan, termasuk syarikat yang dipertanggungjawabkan mengagihkan baja dan sama ada syarikat terbabit memenuhi tanggungjawabnya.
"Kita perlu tahu apa puncanya. Syarikat mana yang diberi tanggungjawab, adakah mereka menunaikan janji atau tidak.
"Jika tidak, mengapa tiada tindakan terhadap mereka," katanya berucap pada majlis penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan penguatkuasaan perlu diambil jika perlu, termasuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke mahkamah atau mendakwa mereka.
"Jika perlu dibawa ke mahkamah, bawa ke mahkamah. Jika perlu didakwa, biarlah SPRM masuk dan menjalankan siasatan," katanya.
Anwar berkata, beliau sudah mengarahkan SPRM menyiasat perkara berkenaan dan meneliti proses terbabit kerana rekod Kementerian Pertanian adalah baik.
Beliau berkata, kelewatan membabitkan bantuan pertanian amat serius kerana petani dan pesawah sudah berdepan pelbagai cabaran, termasuk masalah cuaca dan air.
"Jangan biarkan perkara ini menjadi isu yang lebih membebankan mereka. Mereka sudah berdepan masalah cuaca dan air, ini sesuatu yang tidak boleh kita biarkan," katanya.
Pada Januari lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilaporkan sedang mengkaji semula rantaian bekalan baja bersubsidi susulan aduan petani mengenai kelewatan bekalan yang menjejaskan pertumbuhan tanaman dan menyebabkan mereka menanggung kos tambahan.
KPKM berkata, tempoh kontrak yang pendek sebelum ini menyebabkan gangguan bekalan apabila kontrak tamat sebelum pembekal baharu dilantik.
Reformasi dalam proses perolehan, termasuk kontrak bagi tempoh lebih panjang, kemudian dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan bekalan.
Pada Ogos lalu, Sekretariat Penerangan Kedah Darul Aman melaporkan kelewatan bekalan baja bersubsidi, ditambah dengan kekosongan hampir tiga bulan jawatan pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), menjejaskan penanaman padi dan meningkatkan tekanan terhadap pesawah.
Sekretariat itu memetik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, sebagai berkata kelemahan tadbir urus, khususnya di KPKM menyebabkan masalah berlarutan berkaitan input pertanian gagal diselesaikan secara berkesan.
Ashraf berkata, sehingga 29 Jun lalu, hanya 37,560 beg Baja Sebatian Padi Tambahan 3 diterima, iaitu hanya enam peratus daripada keseluruhan keperluan sebanyak 616,015 beg.
Daripada jumlah itu, hanya 30,799 beg diagihkan, menyebabkan kekurangan dianggarkan sebanyak 160,000 beg.
Mengikut garis panduan Jabatan Pertanian, baja sebatian perlu ditabur antara 15 hingga 20 hari selepas penanaman, manakala urea diperlukan kira-kira 25 hingga 40 hari selepas penanaman.
Baja sebatian tambahan pula digunakan ketika peringkat permulaan pembentukan tangkai dan pembungaan, bergantung kepada tempoh matang varieti padi.
Sumber : Berita Harian Online