SPRM perkukuh strategi antarabangsa di Vienna

Tarikh: 02/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam membanteras rasuah rentas sempadan menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Plenari Ke-7 Global Operational Network of Anti-Corruption Law Enforcement Authorities (GlobE Network) di Vienna International Centre (VIC), Vienna, Austria.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata acara yang berlangsung minggu lalu memberi ruang untuk mengadakan perbincangan dua hala dan berkongsi pengetahuan serta perkembangan semasa serta membincangkan isu kerjasama rentas sempadan.

Beliau berkata, kerjasama langsung dan pertukaran maklumat secara tidak formal dan pantas antara pihak berkuasa anggota GlobE Network penting bagi menyokong siasatan, khususnya apabila sesuatu kes membabitkan transaksi kewangan, aset atau pihak yang berada di luar negara.

"Penyertaan ini adalah Mesyuarat Plenari GlobE Network keempat yang dihadiri SPRM sejak menyertai rangkaian itu pada Mei 2023.

"Ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM untuk memanfaatkan jaringan kerjasama antarabangsa dalam menyokong siasatan rasuah rentas sempadan, pengesanan aliran kewangan haram dan pemulihan aset," katanya.

Abd Halim berkata, antara agenda utama Mesyuarat Plenari Ke-7 adalah perkembangan terkini GlobE Network dan Laporan Aktiviti 2025, pengenalan GlobE Network Experts Circle dan GlobE Compass, pelancaran edisi kedua Compendium of Practices on Informal Cooperation in Transnational Corruption Cases.

"Platform ini juga mengadakan perbincangan berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dalam siasatan rasuah serta turut membincangkan usaha memperkukuh prestasi, kelestarian kewangan dan hala tuju strategik rangkaian," katanya.

Dalam mesyuarat itu, sebanyak 20 pihak berkuasa anggota GlobE Network menandatangani Model Agreement for the Exchange of Information Between Members of the Global Operational Network of Anti-Corruption Law Enforcement Authorities, termasuk pihak berkuasa dari Arab Saudi, Chile, Ukraine, Romania dan Afrika Selatan.

Perjanjian itu menjadi satu langkah penting ke arah memperkukuh mekanisme pertukaran maklumat secara langsung dan selamat antara anggota rangkaian.

Abd Halim turut mengetuai beberapa pertemuan dua hala bersama pihak berkuasa anggota dari Mauritius, United Kingdom, China, Mongolia, Syria, Ukraine dan Kuwait bagi membincangkan perkembangan kes yang sedang dikendalikan serta meneroka bidang kerjasama berpotensi.

Beliau juga mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Vienna bagi memperkukuh hubungan antara SPRM dengan perwakilan Malaysia di Austria.

Penyertaan SPRM dalam Mesyuarat Plenari Ke-7 GlobE Network itu memperkukuh peranan Malaysia dalam jaringan penguatkuasaan antirasuah antarabangsa, khususnya dalam menyokong penyiasatan rentas sempadan, pengesanan aset dan usaha membanteras aliran kewangan haram.

Selain itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, juga berpeluang berkongsi pengalaman Malaysia dalam mengendalikan kes rasuah rentas sempadan, termasuk kes yang membabitkan bidang kuasa luar pesisir (offshore jurisdictions).

Beliau menjadi panel bagi perbincangan bertajuk 'Following the Money: Fake Invoices and Offshore Trails' dan turut menyentuh cabaran perundangan dan pembuktian apabila maklumat serta keterangan perlu diperoleh dari luar negara dan memenuhi keperluan undang-undang yang mempunyai bidang kuasa berbeza.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel