PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tiada notis pengisytiharan harta diserahkan kepada anak lelaki bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, menjelaskan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, tidak dinyatakan kategori umur, namun dalam kes itu pihaknya menggunakan budi bicara.
"Di bawah undang-undang, tidak dinyatakan secara khusus kategori umur, sama ada seseorang itu dewasa atau kanak-kanak. Apa yang dinyatakan ialah mengenai saudara atau sekutu.
"Jadi, dalam kes anak berusia 12 tahun tersebut, kita menggunakan budi bicara dan pertimbangan berdasarkan kemunasabahan. Kita memutuskan untuk tidak menyerahkan notis kepada anak beliau yang berusia 12 tahun itu, memang tidak ada," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-59 SPRM, di sini hari ini.
Abd Halim berkata, SPRM sebelum ini menyerahkan notis berkenaan kepada Saravanan, isterinya dan anak-anak pasangan itu, namun ada antara mereka yang tidak hadir kerana berada di luar negara.
Mengenai kehadiran anak bekas menteri itu secara fizikal ke pejabat SPRM, beliau berkata, kedatangannya tidak bermaksud untuk menerima notis berhubung siasatan itu.
"Kehadiran kanak-kanak itu bukan bermaksud dia datang secara fizikal untuk menerima notis, tetapi lebih kepada teman ibu bapanya.
"Makna kata, mungkin nak tinggalkan anak-anak di rumah tiada orang. Jadi, mereka datang seperti biasa," katanya.
Abd Halim menjelaskan, notis pengisytiharan harta itu dikeluarkan mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 dan tempoh diberikan selama 30 hari, namun boleh disambung dengan sebab munasabah.
Terdahulu, media melaporkan pihak peguam Saravanan mempersoalkan tindakan SPRM menyerahkan notis berkenaan kepada kanak-kanak terbabit dan menyifatkannya sebagai pelanggaran etika.
Isnin lalu, Saravanan bersama ahli keluarganya hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi mengambil notis pengisytiharan harta berkenaan.
Tindakan SPRM mengeluarkan notis itu susulan siasatan berterusan terhadap Saravanan berhubung dakwaan kes rasuah berkaitan kelulusan kuota pekerja asing.
Sumber : Berita Harian Online