KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan satu dokumen tular yang dikaitkan dengan siasatan penyebaran pornografi kanak-kanak kononnya dikeluarkan oleh agensi itu.
Dalam kenyataan hari ini, SPRM menjelaskan dokumen berkenaan adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh suruhanjaya itu.
Menurutnya, notis berkenaan disebar menerusi aplikasi pemesejan dan emel peribadi menggunakan identiti rasmi SPRM secara tidak sah.
"Notis terbabit menggunakan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) serta mencantumkan logo rasmi SPRM dan alamat ibu pejabat SPRM di Putrajaya secara tidak sah bagi tujuan penipuan.
"Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang emel, mesej atau dokumen yang meragukan yang disebar melalui saluran tidak rasmi," katanya.
SPRM turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat melalui platform rasmi suruhanjaya itu.
"Orang ramai digesa menyemak menerusi saluran rasmi SPRM seperti laman sesawang www.sprm.gov.my, Facebook rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), atau talian bebas tol 1-800-88-6000.
"SPRM menyeru semua pihak menghentikan penyebaran dokumen palsu ini serta melaporkan kepada pihak berkuasa jika menerima sebarang mesej seumpamanya," katanya.
Sumber: Berita Harian Online