KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menemui sebarang unsur rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa dalam siasatan berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) ke atas syarikat teknologi akuakultur Indonesia, e-Fishery setakat ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abdul Halim Aman, berkata siasatan masih berjalan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM berhubung pelaburan bernilai AS$35 juta (RM163.4 juta) itu.
Beliau berkata, tiga fokus utama SPRM dalam penyiasatan berkenaan adalah unsur rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa seperti diperuntukkan di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694).
"Rasuah merangkumi Seksyen 16 dan 17, penyelewengan termasuk pengemukaan dokumen palsu di bawah Seksyen 18, manakala penyalahgunaan kuasa dirangkumi di bawah Seksyen 23 Akta berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM Sarawak, di sini, hari ini.
Abdul Halim berkata, pihaknya setakat ini sudah merakam keterangan 19 saksi atau individu bagi membantu pasukan penyiasat menjalankan siasatan kes berkenaan.
Katanya, sejumlah 19 individu itu termasuk pegawai KWAP, pegawai kanan Kementerian Kewangan (MOF) serta pegawai daripada Khazanah Nasional Berhad.
"Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan kerana kami mendapati belum ada keperluan untuk melakukan tangkapan, namun proses penyiasatan masih lagi berjalan," katanya.
Beliau berkata, SPRM turut meneliti peruntukan undang-undang lain yang berkaitan sekiranya terdapat elemen yang menjurus kepada kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), selain akta berkaitan yang lain.
Katanya, siasatan turut membabitkan entiti di luar negara dan SPRM kini memerlukan kerjasama melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan pihak berkuasa di Singapura dan Indonesia.
"Kerjasama itu diperlukan bagi membolehkan SPRM merakam keterangan saksi atau individu yang dikenal pasti serta mendapatkan dokumen berkaitan yang berada di kedua-dua negara berkenaan," katanya.
Halim berkata, proses mendapatkan MLA bagi bidang kuasa luar negara lazimnya mengambil masa kerana permohonan perlu dibuat melalui Jabatan Peguam Negara sebelum disampaikan kepada negara berkaitan.
"Apabila membabitkan bidang kuasa di luar Malaysia, ia akan mengambil proses yang agak panjang sedikit kerana kita perlu memohon MLA melalui Jabatan Peguam Negara dan seterusnya disampaikan kepada negara yang berkaitan," katanya.
Katanya lagi, selain Singapura dan Indonesia, siasatan SPRM turut mendapati permohonan MLA perlu dipanjangkan kepada dua lagi negara iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Abu Dhabi bagi mendapatkan maklumat serta dokumen yang diperlukan.
Sementara itu, Abdul Halim berkata, agensi itu turut menjalankan siasatan dari aspek tatakelola bagi mengenal pasti sama ada terdapat peraturan, prosedur atau garis panduan yang tidak diwujudkan, tidak dipatuhi atau kurang lengkap dalam proses pelaburan berkenaan.
"Hasil penelitian terhadap aspek tatakelola itu boleh membawa kepada cadangan penambahbaikan sekiranya terdapat kelemahan yang dikenal pasti, manakala siasatan domestik ketika ini boleh dikatakan hampir selesai dan SPRM hanya menunggu proses MLA dari empat bidang kuasa berkenaan.
"Proses itu tidak menghadapi apa-apa masalah, cuma ia mungkin mengambil masa kerana beberapa prosedur perlu dipatuhi dari segi perundangan," katanya.
Sumber :berita harian online