SPRM kesan kelemahan pengurusan, pengagihan tapak Bazar Ramadan, Aidilfitri DBKL

Tarikh: 30/01/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan terdapat kelemahan dalam pengurusan tapak Bazar Ramadan dan Aidilfitri oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang perlu ditambah baik segera bagi mengelakkan sebarang risiko salah laku rasuah di agensi itu.

Kelemahan berkenaan antara lainnya berpunca akibat ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) khusus dan situasi itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan ia adalah program tahunan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, berkata pihaknya menjalankan siasatan tatakelola selaras dengan peruntukan Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta SPRM 2009 terhadap beberapa isu yang berlegar dalam DBKL, termasuk yang sudah disiasat mereka.

Antara isu yang diketengahkan adalah berkaitan pengurusan dan pengagihan tapak Bazar Ramadan dan Aidilfitri yang perlu diperbetulkan dengan segera.

Tiada SOP khusus

"Dalam siasatan tatakelola ini, SPRM mengesan ketiadaan SOP khusus, kadar kompaun yang tidak didokumenkan dan tempoh proses pembatalan lesen yang tidak sesuai dikenal pasti sebagai punca isu.

"Kita juga mengesan kelemahan pemantauan kontrak pengurusan pelbagai lesen perniagaan turut dibangkitkan apabila mendapati tiada jawatankuasa pemantau dilantik, justeru penambahbaikan prosedur bayaran dan penubuhan jawatankuasa pemantauan dicadangkan.

"Oleh yang demikian, antara cadangan yang dikemukakan ialah pelaksanaan SOP menyeluruh merangkumi proses kerja dan norma masa, garis panduan kadar kompaun dan pengurangan kompaun serta proses pembatalan lesen khusus untuk bazar perayaan," katanya, di sini hari ini.

Semalam, beliau turut mengadakan kunjungan hormat Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Azmi berkata, selain pengurusan tapak bazar, Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM turut membentangkan cadangan penambahbaikan tatakelola membabitkan empat lagi isu utama kepada DBKL.

Ia adalah berkaitan isu pengurusan bahan kreatif, pemantauan kontrak perkhidmatan lesen perniagaan, tadbir urus Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia serta pengurusan kutipan sewa projek perumahan rakyat dan awam.

20 cadangan penambahbaikan

Katanya, sebanyak 20 cadangan penambahbaikan telah dikemukakan berhubung kelemahan atau kekurangan dalam amalan, sistem dan tatacara DBKL yang dikenal pasti melalui proses penyiasatan tatakelola selaras dengan peruntukan Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta SPRM 2009.

"Sebagai contoh, isu pengurusan pelaksanaan projek penerbitan kandungan siaran studio radio DBKL yang dikenal pasti mempunyai kelemahan daripada segi ketiadaan had kelulusan sumbangan ditetapkan.

"BPT mencadangkan penetapan 'Limits of Authority (LOA)' khusus kepada Datuk Bandar, ketua jabatan dan jawatankuasa pengurusan tertinggi dengan menetapkan jumlah maksimum kelulusan bagi meningkatkan ketelusan," katanya.

Tambah Azmi, BPT turut mengemukakan syor berkaitan penambahbaikan tadbir urus Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia 2023 DBKL serta pengurusan kutipan sewa perumahan awam melalui penyelarasan SOP, penguatkuasaan berjadual dan kajian kadar sewa.

"Ini bagi memastikan pengurusan DBKL yang lebih mampan," katanya.

Semua syor itu telah dibentangkan oleh Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola F, Zulhairy Zaidel kepada barisan pengurusan tertinggi DBKL yang turut dihadiri oleh Fadlun dan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan, yang diadakan di Menara DBKL di sini, semalam.


Sumber : Beita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel