SPRM gempur dua NGO, tahan 3 individu termasuk seorang di Sabah disyaki seleweng RM7 juta

Tarikh: 22/07/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur sekurang-kurangnya dua badan bukan kerajaan (NGO) termasuk satu terbabit dalam bidang keagamaan kerana disyaki menyeleweng jutaan ringgit.

Dalam operasi pertama, SPRM menahan dua individu iaitu seorang setiausaha dan seorang bendahari kerana disyaki terbabit dalam amalan pengubahan wang haram dengan nilai RM5 juta.

Kedua-dua suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30-an itu, ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Sumber berkata, kedua-dua suspek disyaki menerima, memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berkaitan penyelewengan wang pertubuhan di tempat mereka bekerja bernilai kira-kira RM5 juta untuk kepentingan peribadi.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2021 hingga 2023," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

"Kedua-dua suspek akan dituduh pada 29 Julai ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor," katanya.

Sementara itu, dalam operasi kedua di Sabah, SPRM negeri menahan seorang presiden sebuah NGO kerana disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng peruntukan pembinaan sebuah dewan berjumlah kira-kira RM2 juta.

BH dimaklumkan, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 dengan menyeleweng peruntukan yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan untuk pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di negeri ini.

"Suspek dipercayai turut mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan dewan itu tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan tersebut," kata sumber.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"Suspek akan dituduh Khamis ini di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu," katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, BH mendedahkan NGO yang mengutip dana hasil sumbangan orang ramai dikesan mempunyai potensi besar untuk menyeleweng daripada matlamat sebenar, termasuk mengambil peluang mengumpul kekayaan luar biasa dan membeli pelbagai barangan mewah untuk kegunaan peribadi.

Situasi itu selari dengan siasatan SPRM terhadap pertubuhan yang didapati kebanyakannya menyalah guna dana untuk kepentingan peribadi.

Tahun ini saja, sekurang-kurangnya tujuh NGO yang terbabit mengutip dana awam, seperti derma dan infak kebajikan, ditumpaskan SPRM kerana menyalah guna dana untuk kepentingan peribadi.

Laporan BH mendapat reaksi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang berkata, pihaknya akan meminda Akta 832 bagi menambah baik kawal selia terhadap kegiatan kutipan dana oleh pertubuhan berdaftar di negara ini.

Pindaan itu akan turut membabitkan hukuman lebih berat terhadap perbuatan penyelewengan dana berikutan wujud beberapa kes seumpama itu sejak akhir-akhir ini seperti yang dibongkar oleh SPRM.


Sumber : Berita harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel