Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi fokus dan menekankan kepentingan kepada usaha pemulihan aset sebagai langkah menangani ketirisan dana awam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM juga bersedia menawarkan sokongan teknikal kepada mana-mana pihak termasuk penggunaan teknologi penyiasatan terkini.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Bilateral Ke-16 bersama Anti-Corruption Bureau (ACB) Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan An-Naura, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Complex, Bandar Seri Begawan, Brunei baru-baru ini.
Mesyuarat itu dianjurkan ACB selaku hos dan kesinambungan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi yang terjalin lebih dua dekad.
Delegasi SPRM diketuai Azam manakala ACB diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Datin Anifa Rafiza Abd Ghani yang turut berperanan sebagai pengerusi bersama mesyuarat itu.
Mesyuarat Dua Hala kali Ke-16 itu diadakan bagi memperkukuhkan hubungan erat Malaysia–Brunei dalam memerangi rasuah termasuk melalui pelaksanaan kerjasama teknikal, program latihan profesional serta pertukaran kepakaran dalam pencegahan dan pendakwaan kes rasuah.
Dalam sesi pertemuan ini, SPRM turut berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pelaksanaan operasi siasatan, program pencegahan rasuah, jaringan kerjasama rentas sempadan serta pelbagai inisiatif ke arah memperkukuh integriti organisasi dan pendidikan antirasuah di Malaysia.
SPRM membentangkan pelaksanaan 'Ops Sky' dalam slot perkongsian operasi siasatan, manakala program 'Keep Malaysia Clean – (KMC)' dikongsi sebagai contoh usaha pencegahan berskala nasional bagi membina masyarakat bebas rasuah.
Sementara itu, ACB pula membentangkan hasil operasi mereka termasuk kejayaan menangani kes salah laku dalam kalangan pegawai awam di dalam badan-badan awam melalui perundangan Misconduct of Public Office (MIPO) serta inisiatif memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam di Brunei Darussalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Datuk Rasidah Abdul Karim; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad; Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah; Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh serta pegawai-pegawai kanan SPRM.
Sumber : Berita Harian Metro