KUALA LUMPUR: Pasukan pendakwaan sudah memfailkan rayuan terhadap hukuman dan sabitan ke atas tiga individu yang disabitkan dalam kes pengubahan wang haram terbesar di Sabah termasuk bekas Pengarah Jabatan Air negeri itu, Ag Mohd Tahir Mohd Talib.
Bahagian Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini, berkata rayuan terhadap ketiga-tiga individu terbabit difailkan pada 25 Mei lalu.
Selain Ag Mohd Tahir, dua lagi adalah isteri beliau, Fauziah Piut dan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Lim Lam Beng.
"Pasukan pendakwaan memfailkan rayuan bagi hukuman rendah dikenakan ke atas Ag Mohd Tahir, selain perintah melepas dan membebaskan Fuziah serta Lam Beng," katanya.
Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun selepas mendapati Ag Mohd Tahir bersalah atas 12 tuduhan pengubahan wang haram, membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM49.7 juta.
Mahkamah turut menetapkan denda keseluruhan RM284.3 juta terhadap Ag Mohd Tahir dengan pesalah berdepan hukuman penjara tambahan 78 bulan jika gagal membayar jumlah terbabit.
Dia disabitkan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda hingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai, dengan syarat jaminan sedia ada dikekalkan.
Mahkamah antara lain turut memerintahkan permohonan perlucuthakan harta di bawah Seksyen 55 AMLATFPUAA 2001, membabitkan semua tertuduh ditangguhkan hingga proses rayuan selesai sepenuhnya.
Status quo semua barang kes juga dikekalkan dan sebarang pemulangan harta hanya boleh dibuat selepas pelupusan muktamad rayuan di mahkamah lebih tinggi.
Dalam prosiding sama, Fauziah dilepas dan dibebaskan daripada 19 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan kira-kira RM2.2 juta, manakal Lam Beng turut diberi perintah sama bagi empat pertuduhan membabitkan kira-kira RM2.3 juta.
Mahkamah juga mendapati Ag Mohd Tahir dan Fauziah tidak bersalah terhadap dua pertuduhan bersama membabitkan aset bernilai kira-kira RM6.5 juta.
Kes berprofil tinggi dikenali sebagai Ops Water itu bermula susulan siasatan pada Oktober 2016, menyasarkan kegiatan pengubahan wang haram dan pemilikan aset dipercayai hasil aktiviti haram membabitkan pegawai kanan Jabatan Air Sabah.
Kes terbabit menarik perhatian kerana sudah berlangsung selama hampir sedekad dan menjadi tajuk utama pada 2016 apabila SPRM melakukan antara rampasan terbesar pernah direkodkan di Sabah, membabitkan barangan berharga dan wang tunai puluhan juta ringgit.
Imej timbunan wang tunai dalam bilik dan bertaburan atas lantai yang tersebar meluas di media tempatan ketika itu menjadikan siasatan berkenaan antara skandal rasuah paling mendapat perhatian di negara ini.
Selepas beberapa siri penangguhan, perbicaraan bermula pada 7 Mei 2018 dengan pihak pendakwaan memanggil 46 saksi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat.
Pihak pembelaan kemudian memanggil 15 saksi termasuk beberapa individu yang pada awalnya ditawarkan pihak pendakwaan seperti bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.
SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE