KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) memerangi rasuah, Malaysia Corruption Watch (MCW) mendakwa elemen kelalaian sistematik, pengabaian tanggungjawab atau perlindungan terancang oleh individu tertentu dalam kalangan pihak berkuasa adalah faktor kepada pencerobohan hutan simpan secara besar-besaran di Pahang.
Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata MCW menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula atau memperluas kertas siasatan terhadap pelbagai pihak termasuk pegawai kerajaan negeri, wakil rakyat, agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan yang disyaki bersekongkol, melindungi atau membenarkan penerokaan haram berlaku dalam tempoh panjang.
Katanya, MCW juga menggesa SPRM menyiasat aliran kewangan, termasuk kemungkinan berlakunya aktiviti rasuah politik di sebalik kelewatan penguatkuasaan.
"MCW melihat isu ini sebagai lebih daripada isu penguatkuasaan tanah iaitu ia adalah simptom penyakit sistemik yang sudah merosakkan integriti pentadbiran negeri selama puluhan tahun.
"Ini memandangkan pencerobohan ini berlaku selama lebih 40 tahun tanpa tindakan, membabitkan hasil bumi bernilai jutaan ringgit dan kebanyakan pelaku dipercayai beroperasi secara terbuka tanpa rasa takut kepada undang-undang," katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Rabu lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan tanah di negeri ini tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya dan tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada mereka yang terbabit.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya rakyat menjadi 'mata dan telinga' baginda dalam menyalurkan maklumat mengenai isu pencerobohan tanah di negeri ini.
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan di kebun durian di Raub menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat apabila pekebun didakwa menunjukkan ketidakpuasan hati kerana tanaman mereka dimusnahkan.
Bagaimanapun kerajaan Pahang menafikan melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.
Jais berkata, MCW juga mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau sekurang-kurangnya Siasatan Bebas Peringkat Parlimen atau Negeri yang turut dianggotai wakil NGO dan masyarakat sivil.
"Ini bertujuan memetakan rangkaian perlindungan politik dan birokratik yang memungkinkan penerokaan haram ini berlaku, mendedahkan kelemahan institusi penguatkuasaan negeri dan mewujudkan pelan tindakan pemulihan terhadap kawasan terjejas.
"Sebelum ini, MCW sudah lama menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan sistem pemberian lesen pembalakan dan kelulusan pembangunan di kawasan hutan simpan bukan saja di Pahang, tetapi di seluruh negara.
"Di Pahang khususnya, MCW mendapati wujudnya kekurangan ketelusan dalam proses tender dan pengeluaran lesen serta kegagalan mendedahkan dokumen awam seperti EIA (Environmental Impact Assessment) kepada pihak berkepentingan," katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya setiap lesen pembalakan dan projek pembangunan di kawasan hutan simpan perlu diwartakan secara terbuka, dipantau oleh jawatankuasa bebas negeri dan NGO serta setiap keputusan diperincikan secara atas talian untuk tatapan umum.
"Isu pencerobohan hutan simpan di Raub, Pahang bukan sekadar isu pekebun haram, sebaliknya ia adalah ujian besar terhadap integriti tadbir urus negeri dan negara.
"Jika tiada tindakan tegas dan menyeluruh, Malaysia akan terus kehilangan warisan alam dan kedaulatan tanah kepada tangan-tangan yang tamak dan rasuah.
"MCW komited untuk terus menekan, meneliti dan menyuarakan isu ini sehingga kebenaran didedahkan sepenuhnya," katanya.
Sumber BHonline