KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (MAPCU) menjalin kerjasama dalam usaha menyatakan komitmen memerangi rasuah bermula dari kalangan pelajar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata,
bersempena sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2023, pihaknya
menjalin kerjasama bagi membawa mesej tegas dan jelas kepada anak muda
mengenai bahaya rasuah.
"SPRM sangat serius dalam memberi kesedaran
memerangi rasuah dalam kalangan rakyat khususnya anak-anak muda dan pelajar
serta tidak sanggup melihat generasi muda terjerat dalam perangkap
rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam amanat khas bersempena
sambutan HARA 2023 menerusi rakaman video di Forum Antirasuah Antarabangsa di
Universiti Asia Pasifik di sini, hari ini. Azam juga berkongsi keterujaan
melihat kolej-kolej dan universiti swasta yang bernaung di bawah MAPCU
menyatakan komitmen membawa kesedaran serta memerangi rasuah seiring dengan
hala tuju dan strategi yang digariskan SPRM iaitu tadbir urus baik, ketelusan
dan akauntabiliti.
"Kita mahu masyarakat tidak berkompromi dan
tidak bertolak ansur dengan amalan rasuah selain melahirkan sebuah negara yang
adil untuk semua, memartabatkan nilai kejujuran, integriti dan memelihara
maruah manusia. "Justeru, saya mengajak semua rakyat Malaysia bersatu padu
dan terus utuh melawan gejala rasuah," katanya.
Sumber: Harian Metro