SPRM cadang pegawai AKPS diberi insentif, elak salah laku rasuah

Tarikh: 08/08/2025
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan setiap pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) diberikan insentif sebagai dorongan untuk mengelakkan salah laku rasuah dalam kalangan penjawat awam di sempadan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, cadangan itu penting untuk meningkatkan integriti pegawai-pegawai AKPS.

Katanya, jika insentif itu diperkenal, pegawai AKPS yang bertugas di sempadan akan dilihat lebih bermotivasi, bersemangat serta berintegriti tinggi ketika menjalankan tugas.

"SPRM menyokong penuh cadangan ini kerana insentif mampu menjadi pemangkin semangat dan pada masa sama dapat mengekang sikap sambil lewa dalam kalangan petugas barisan hadapan di sempadan negara," katanya dalam pertemuannya bersama Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AKPS, Datuk Sazali Mohamad; dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKPS, Ismail Mokhtar.

Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM juga bersedia menjalinkan kerjasama strategik bersama AKPS, khususnya aspek operasi serta latihan membabitkan pegawai agensi.

Katanya, AKPS adalah sebuah agensi baharu yang memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan negara dan SPRM bersedia memberikan bantuan sepenuhnya dalam memastikan matlamat bersama dicapai.

"Beberapa isu membabitkan AKPS sememangnya berada dalam radar SPRM, namun penyelesaiannya agak mencabar.

"Dengan kerjasama yang bakal dijalinkan ini, kita yakin urusan tertangguh dapat diselesaikan dengan lebih lancar," katanya.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, pertemuan AKPS-SPRM menjadi platform penting untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan berkenaan langkah operasi, pencegahan rasuah serta usaha meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai yang bertugas di kawasan sempadan negara.

"Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh lagi sistem kawalan sempadan dan membentuk barisan pegawai yang lebih berintegriti dalam melaksanakan tugas," katanya.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel