KUALA LUMPUR: Akaun bank milik Cropmate Bhd, pengeluar baja berpangkalan di Klang, serta anak syarikatnya yang terjejas telah dibatalkan pembekuannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memaklumkan tiada pengarah, pegawai, kakitangan atau wakil kumpulan berkenaan ditahan atau didakwa atas sebarang kesalahan yang berkaitan dengan siasatan itu.
Cropmate turut mengesahkan syarikat serta anak syarikatnya tidak tertakluk kepada sebarang prosiding pelucuthakan berkaitan siasatan berkenaan.
Pada 24 April 2026, Cropmate mengumumkan beberapa akaun banknya dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan berhubung pengubahan wang haram yang dijalankan SPRM.
Sumber : Berita Harian Online