SPRM arah pegawai kemas kini perisytiharan harta

Tarikh: 24/06/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan semua pegawainya untuk mengemas kini perisytiharan harta masing-masing dalam tempoh sebulan bagi mengukuhkan integriti dalaman agensi berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata tindakan itu dimulakan sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai teladan kepada warga kerjanya.

Katanya, di bawah kepimpinan baharu, SPRM memberi tumpuan khusus untuk meningkatkan semula imej serta kepercayaan rakyat melalui pelaksanaan lima prinsip utama iaitu integriti tanpa kompromi, penguatkuasaan yang adil, pencegahan lebih baik daripada hukuman, teknologi dan ketelusan serta membina kepercayaan rakyat.

"Sejajar dengan prinsip itu, SPRM akan terus bertindak secara tegas, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh politik atau kepentingan tertentu dengan berpaksikan Akta SRPM 2009 [Akta 694] dan prinsip 'nobody is above the law'.

"Justeru bagi mengukuhkan integriti dalaman dan ketelusan, ketua pesuruhjaya telah mengarahkan semua pegawai SPRM untuk mengemas kini perisytiharan harta dalam tempoh satu bulan dengan beliau sendiri memulakan prosesitu sebagai teladan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Teresa Kok (PH- Seputeh) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasil siasatan dan tindakan yang diambil oleh SPRM berkenaan dakwaan 'mafia korporat' yang membabitkan pegawai SPRM dan ahli perniagaan serta langkah pembaharuan yang akan dilaksanakan oleh Ketua Pesuruhjaya baharu.

Isu mafia korporat meletus pada Februari lalu selepas portal antarabangsa, Bloomberg menerbitkan laporan mendakwa wujud pakatan 'mafia korporat' di Malaysia.

Laporan itu mendakwa terdapat sekumpulan ahli perniagaan menggunakan pengaruh dan bantuan daripada pegawai SPRM untuk mengambil alih kawasan beberapa syarikat senaraian awam secara paksa atau tidak sah.

Laporan itu secara langsung meletakkan integriti agensi antirasuah itu dan kepimpinannya ketika itu, Tan Sri Azam Baki di bawah sorotan tajam masyarakat.

Pendedahan berkenaan mencetuskan tekanan politik yang hebat terutama daripada parti komponen kerajaan seperti DAP serta BERSIH yang mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera dan menuntut Azam meletak jawatan. Bagaimanapun, Azam dan SPRM sekeras-kerasnya menafikan dakwaan itu.

Jemaah menteri pada Mac lalu mengarahkan agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terperinci, sementara satu jawatankuasa khas dipengerusikan Peguam Negara ditubuhkan.

Memasuki bulan ini, siasatan PDRM dilaporkan masih berjalan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memaklumkan tiada bukti kukuh mengaitkan SPRM setakat ini.

Menjelas lanjut, Azalina berkata, selain perisytiharan harta, SPRM bawah kepimpinan baharu turut memperkukuh pematuhan prosedur operasi standard (SOP), sistem semak dan imbang serta menolak sama sekali sebarang bentuk salah laku dalaman demi memulihkan imej institusi.

"Langkah ini selaras dengan pekeliling terbaru Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memperincikan garis panduan pemilikan aset, termasuk saham, sekuriti dan aset digital dalam kalangan penjawat awam.

"SPRM juga memperkukuh pematuhan kepada SOP, sistem semak dan imbang, pengurusan kewangan berintegriti serta budaya kerja berasaskan kompetensi dan merit, di samping menolak sama sekali sebarang bentuk salah laku dalam kalangan warga SPRM yang boleh mencemarkan imej institusi," katanya.

Selain itu, katanya selaras dengan cabaran jenayah rasuah dan kewangan yang semakin kompleks, SPRM mengukuhkan penggunaan teknologi terkini, analitik data, pemantauan transaksi serta risikan strategik, di samping memperluas kerjasama dengan agensi dalam dan luar negara.

"Di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau akan memastikan SPRM bertindak dengan ketegasan yang lebih mutlak, keadilan yang saksama dan tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa tanpa mengira pangkat, kedudukan mahupun pengaruh.

"Pada masa sama, SPRM memberi penekanan kepada usaha pencegahan dan pendidikan anti rasuah serta memperkukuh perlindungan kepada pemberi maklumat, diiringi komitmen kepimpinan baharu untuk mengamalkan budaya organisasi yang berdisiplin, rendah diri dan terbuka kepada teguran.

"Langkah-langkah menyeluruh ini bertujuan memastikan SPRM benar-benar dilihat rakyat sebagai sebuah institusi yang bebas, telus, profesional dan berwibawa, sekali gus mengembalikan keyakinan terhadap usaha memerangi rasuah di negara ini," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel