KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka bertemu Datuk Jovian Mandagie iaitu bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Jakarta, Indonesia, esok.
Difahamkan, pasukan penyiasat akan berada di sana selama dua hari untuk mengambil keterangan pereka fesyen berusia 39 tahun itu, bagi membantu siasatan kes membabitkan Perdana Menteri ke sembilan itu.
BH difahamkan, keterangan Jovian penting berikutan beberapa dokumen yang perlu disahkan bekas suami anak sulung Ismail Sabri itu.
Sebelum ini, BH mendedahkan, pasukan penyiasat SPRM akan mengambil keterangan Jovian yang berlangsung selama dua hari, dengan pihaknya sudah membuat temu janji dan menetapkan lokasi di Jakarta.
Keterangan Jovian diambil di Jakarta kerana bekas suami Nina Sabrina itu dilaporkan kembali menetap di negara berkenaan selepas mengumumkan penutupan operasi fesyennya tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, pihaknya akan merakam keterangan Jovian susulan siasatan terhadap pemilikan aset membabitkan Ismail Sabri.
Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Azam dilapor berkata, siasatan dibuat susulan arahan supaya Ismail Sabri membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Ismail Sabri pada 10 Februari lalu membuat pengisytiharan harta dan SPRM sedang menganalisis sumber perolehan aset berkenaan.
Sumber BH Online