Skor Indeks Persepsi Rasuah Malaysia masih rendah

Tarikh: 17/11/2025
img

Putrajaya: Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia masih rendah sekitar 47 hingga 53 daripada skala 100 sejak sedekad lalu dan kini di tangga ke-57.

Presiden Pertubuhan IKRAM (IKRAM) Malaysia, Badlishah Sham Bahari berkata, ini memperlihatkan cabaran besar dalam membina budaya integriti di negara ini apabila skor indeks jauh di belakang negara lain seperti Denmark, Finland dan Singapura.

Katanya, ancaman rasuah kini bukan sahaja di sektor kerajaan tetapi turut meresap ke sektor swasta, politik, pendidikan dan kehidupan harian masyarakat.

"Ini menunjukkan berlaku normalisasi nilai di sesetengah lapisan masyarakat yang merupakan suatu cabaran moral yang sangat besar.

"Integriti adalah tuntutan bersama, bukan kerja satu institusi semata-mata. KIA 2025 ingin menghidupkan kembali ruang ini dengan menjadikan gerakan integriti sebagai advokasi akademik," katanya ketika berucap pada majlis perasmian KIA 2025, di Pejabat IKRAM, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IIM, Datuk Ahmad Ramdzan Daud dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail.

Katanya, program ini ini menjadi platform menyatukan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, media, institusi pendidikan dan masyarakat dalam satu gelombang menolak rasuah.

"Semua pihak mempunyai peranan masing-masing, daripada institusi kerajaan, masyarakat sivil hingga individu, dalam membina jiwa rakyat yang jujur," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program KIA 2025 bertujuan memupuk budaya integriti, menolak rasuah dan membina kesedaran moral di kalangan masyarakat.

"Integriti bukan isu moral biasa tapi ia adalah penentu jatuh bangun sebuah amanah."

"Bentuknya tidak lagi sekadar suapan terbuka tetapi kronisme, manipulasi data, salah guna kedudukan malah budaya duit kopi yang dianggap biasa," katanya.

Dalam pada itu, Badlishah menegaskan pendidikan integriti perlu bermula sejak peringkat awal, sekolah sehingga ke universiti, serta diteruskan melalui program kesedaran awam, bengkel dan forum.

Sementara itu, Ahmad Ramdzan berkata, kempen integriti dan anti rasuah (KIA) yang dilancarkan hari ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan nilai integriti dalam kehidupan seharian.

"Dengan adanya kempen ini, kita berharap nilai integriti dan anti rasuah dapat disemai secara berterusan dalam kalangan masyarakat.

"Ia bukan sekadar tanggungjawab kerajaan, tetapi perlu menjadi amalan semua pihak bagi membina negara yang bersih dan berwibawa," katanya.

Untuk rekod, kira-kira 30 penunggang motosikal berlepas pagi ini dalam konvoi Jelajah Integriti Kumpulan Motosikal Zon Tengah, Utara, Selatan dan Pantai Timur, sebagai sebahagian daripada Kempen Integriti dan Antirahsuah (KIA) 2025 yang berlangsung November hingga Disember.

Kempen KIA 2025 membabitkan pelbagai aktiviti sepanjang November dan Disember termasuk jelajah integriti, pertandingan video dan komik, audio siar, forum serta karnival antirasuah.


Sumber: Berita Harian Metro


MACC FM
My Anti-Corruption Channel