Skandal eFishery: Siasatan domestik pelaburan KWAP hampir selesai - SPRM

Tarikh: 14/08/2026
img

KUALA LUMPUR: Siasatan dalam negara berhubung kerugian pelaburan RM163.4 juta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, kini hampir selesai.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan beberapa keterangan dan dokumen dari luar negara masih diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

Menurut kenyataan dalam Facebook hari ini, proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA) sedang berjalan dengan Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat dan Abu Dhabi.

"Proses ini mungkin mengambil masa kerana membabitkan prosedur perundangan dan bidang kuasa negara lain.

"Siasatan diteruskan. Setiap fakta diteliti dan setiap dokumen disemak," katanya.

SPRM berkata, keterangan 19 individu sudah dirakam setakat ini, termasuk pegawai KWAP, pegawai kanan Kementerian Kewangan (MOF) dan Khazanah.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana siasatan belum menemukan keperluan untuk berbuat demikian.

Siasatan bukan sekadar mengenal pasti pihak yang melakukan kesalahan, malah meneliti sama ada wujud unsur rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.

SPRM turut meneliti aspek tatakelola, termasuk prosedur, peraturan dan garis panduan yang mungkin perlu ditambah baik.

KWAP kena scam

Isu itu mula mendapat perhatian selepas Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada 15 Julai lalu memaklumkan pelaburan KWAP berjumlah AS$47.7 juta atau kira-kira RM200 juta dalam eFishery menjadi mangsa penipuan terancang susulan manipulasi laporan kewangan syarikat itu.

Susulan laporan berkenaan, SPRM menubuhkan pasukan siasatan khas pada 17 Julai lalu sebelum KWAP sehari kemudian menjelaskan jumlah keseluruhan pelaburannya ialah RM163.4 juta, bersamaan kira-kira 2.51 peratus pegangan saham eFishery.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata siasatan setakat ini belum menemukan sebarang kesalahan rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata, hasil siasatan penuh hanya dapat diperoleh selepas keterangan dan dokumen dari luar negara diterima menerusi proses MLA.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel