Isu kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, wajar dilihat melangkaui perdebatan mengenai siapa harus dipersalahkan.
Persoalan lebih besar sama ada wang persaraan awam dilaburkan melalui proses benar-benar memahami risiko, mencabar andaian pelaburan dan menyediakan mekanisme pemantauan berterusan.
KWAP menjelaskan jumlah pelaburannya itu ialah RM163.4 juta bagi pegangan kira-kira 2.51 peratus, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan membuka siasatan terhadap pelaburan itu.
Tanpa mendahului siasatan, perkembangan ini perlu dijadikan peluang menilai keberkesanan tadbir urus pelaburan dana awam, bukan sekadar mencari kesalahan selepas kerugian berlaku.
Kes ini juga bukan kegagalan perniagaan biasa. Pengasas bersama dan bekas ketua pegawai eksekutif eFishery dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah Indonesia atas kesalahan menggelapkan dan pengubahan wang haram.
Fakta ini menunjukkan pelabur berhadapan dengan salah laku serius dan terancang. Namun, kewujudan penipuan tidak seharusnya menamatkan penelitian terhadap proses pelaburan. Oleh itu, isu ini perlu dinilai bukan sahaja daripada sudut jenayah dan salah laku korporat, bahkan keberkesanan proses penilaian dan pengurusan risiko pelaburan.
Persoalan sebenar, sama ada risiko diambil bersesuaian dengan mandat dana persaraan KWAP, setimpal dengan pulangan dijangka dan berada dalam lingkungan selera dan toleransi risiko organisasi.
Bagi pelaburan dalam syarikat swasta tidak tersenarai, risiko lazimnya lebih tinggi kerana maklumat pasaran terhad, penilaian syarikat sukar disahkan, aset kurang cair dan pelabur minoriti mempunyai kuasa kawalan agak terbatas.
Dalam keadaan sebegini, proses penelitian wajar bukan sekadar mendapatkan laporan kewangan, melantik penasihat atau menerima pembentangan pengurusan syarikat. Antara perlu diberi perhatian ialah pengesahan bebas terhadap akaun bank, pelanggan, pembekal, kontrak, rekod cukai, aliran tunai, transaksi pihak berkaitan serta kewujudan sebenar operasi.
Pertumbuhan hasil tinggi sepatutnya dibandingkan dengan tunai benar-benar diterima. Bilangan pelanggan dan aset operasi pula perlu diuji melalui sumber bebas, bukan bergantung sepenuhnya kepada data disediakan pihak pengurusan.
Penyertaan pelabur antarabangsa terkemuka juga tidak boleh menggantikan pertimbangan sendiri dan menjadi asas pembuatan keputusan pelaburan kerana mungkin terdapat kecenderungan ikut-ikutan.
Situasi ini menjadi perangkap senyap kerana anggapan pelabur lain sudah melakukan semakan dana analisis mendalam. Akhirnya, reputasi kolektif menggantikan sikap skeptikal yang sepatutnya menjadi asas keputusan pelaburan.
Di sinilah fungsi pengurusan risiko. Pasukan pelaburan secara semula jadi menumpukan peluang pertumbuhan dan pulangan. Fungsi risiko pula perlu mempunyai kebebasan, kepakaran serta keberanian untuk mencabar andaian berkenaan.
Fungsi risiko tidak seharusnya sekadar memberikan pengesahan kepada memorandum pelaburan, tetapi perlu menilai dengan tegas kemungkinan berlaku salah nyata, kelemahan kawalan dalaman, konflik kepentingan dan kerugian dalam senario terburuk.
Antara persoalan sepatutnya dibangkitkan ialah bagaimana sekiranya pendapatan dibesar-besarkan (inflate), bagaimana jika keuntungan tidak disokong aliran tunai, apakah kesannya jika penilaian syarikat jatuh mendadak dan berapa banyak modal boleh hilang dalam senario terburuk.
Pertimbangan risiko juga perlu mempengaruhi struktur transaksi. Jika sesebuah syarikat mempunyai tahap ketidakpastian tinggi, pelaburan boleh dibuat secara berperingkat berdasarkan pencapaian tertentu. Pelepasan dana boleh dikaitkan dengan pengesahan pendapatan, audit bebas, kemajuan operasi atau pematuhan kepada syarat tadbir urus. Bagi pelabur minoriti, hak mendapatkan maklumat dan perlindungan kontrak amat penting.
Kawalan sebelum pelaburan
Institusi perlu mempunyai akses kepada laporan kewangan berkala, hak menjalankan pemeriksaan bebas, perlindungan terhadap salah nyata dan mekanisme mengambil tindakan apabila syarat dilanggar.
Pegangan kecil tidak mengurangkan keperluan pemantauan. Sebaliknya, kuasa kawalan terbatas sepatutnya meningkatkan keperluan terhadap hak maklumat dan perlindungan kontrak.
Pengurusan risiko juga tidak berakhir apabila transaksi selesai. Penelitian wajar ialah kawalan sebelum pelaburan, manakala pemantauan pascapelaburan menentukan sama ada perubahan risiko dapat dikesan dan ditangani.
Antara petunjuk utama risiko ialah peningkatan hasil tanpa pertumbuhan tunai, laporan kewangan lewat, pertukaran juruaudit, keperluan modal yang kerap, transaksi pihak berkaitan serta percanggahan antara data operasi dengan prestasi kewangan.
Akauntabiliti dalam isu ini juga tidak boleh dipusatkan kepada satu individu. Pasukan pelaburan bertanggungjawab terhadap analisis dan cadangan.
Panel atau jawatankuasa pelaburan bertanggungjawab terhadap kelulusan, manakala lembaga perlu memastikan keseluruhan pendedahan selaras dengan selera dan toleransi risiko organisasi.
Kementerian Kewangan pula mempunyai tanggungjawab dasar dan pengawasan terhadap institusi di bawahnya. Tanggungjawab politik mungkin berhenti di kementerian, tetapi akauntabiliti profesional perlu dikenal pasti pada setiap peringkat proses membuat keputusan.
Setiap keputusan pelaburan material sepatutnya meninggalkan jejak keputusan boleh diaudit, termasuk risiko dikenal pasti, andaian digunakan, pandangan berbeza, syarat kelulusan, pihak membuat keputusan dan tindakan diambil apabila amaran muncul.
Rekod ini penting untuk membezakan kerugian yang berlaku walaupun keputusan dibuat secara berhemat dengan kerugian berpunca kelemahan proses atau kegagalan bertindak.
Kes eFishery tidak seharusnya mendorong dana awam menjadi terlalu takut mengambil risiko, sebaliknya perlu memperkukuh satu prinsip asas, iaitu semakin tinggi ketidakpastian, ketidakcairan dan ketidakjelasan sesuatu pelaburan, semakin tinggi tahap bukti, pengesahan bebas, perlindungan kontrak dan pemantauan diperlukan. Pengurusan risiko bukan proses bermula selepas kerugian berlaku. Ia mesti hadir sebelum keputusan dibuat, semasa dana disalurkan dan sepanjang tempoh pelaburan.
Persoalan paling penting dalam kes ini bukan sekadar siapakah perlu dipersalahkan tetapi sama ada risiko difahami dengan betul, dicabar secara bebas, diterima pihak bertanggungjawab dan dipantau.
Jawapan terhadap persoalan itu akan menentukan sama ada isu eFishery hanya satu kerugian akibat penipuan sukar dikesan atau petunjuk kelemahan tadbir urus pelaburan dana awam.
Pensyarah Kewangan dan Pengurusan Risiko, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Sumber : Berita Harian Online