Sindiket 'counter setting' ambil kesempatan 11 kelemahan Imigresen di KLIA

Tarikh: 18/09/2024
img

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyenaraikan 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sehingga membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi 'counter setting'.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, masalah utama berlakunya masalah itu adalah disebabkan kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai Imigresen mudah didekati oleh ejen sindiket.


Katanya, kelemahan lain ialah pusingan tempat kerja bagi pegawai Imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 tidak sistematik.


"Pusingan kerja tidak sistematik ini menyebabkan pihak ejen dan sindiket senang untuk berurusan dengan pegawai penyelia mahupun pegawai yang menjaga kaunter.


"Ini kerana mereka terlebih dahulu mengetahui pegawai ini akan bertugas di kaunter mana dan akan berlakunya 'counter setting'," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.


Azam berkata, pihaknya turut mengesan kelemahan daripada aspek kurang pemantauan dan penyeliaan sehingga menyebabkan wujud kelompongan dalam kaedah kerja.


Katanya, sistem pemeriksaan ke atas kemasukan warga asing juga mudah untuk dimanipulasi dan susah untuk membuat semakan semula.


"Kelemahan lain ialah terlalu selesa dan lama bertugas di lokasi yang sama, persekitaran tempat kerja di pintu masuk KLIA Terminal 1 dan 2 itu sendiri di mana dikesan terdapat pegawai imigresen yang turut memberi dan membayar rasuah dalam kalangan pegawai imigresen sendiri.


"Siasatan turut mendapati wujud amalan dalam pegawai imigresen yang menerima rasuah bagi melepaskan warga asing yang tidak menepati syarat kemasukan," katanya.


Beliau berkata, pihaknya mengesan tiada prosedur operasi standard (SOP) serta pengawasan yang ketat dan JIM perlu bertanggungjawab membuat operasi besar-besaran menahan pendatang asing tanpa izin.


"Tiada pemantauan dan tapisan pihak ketiga membabitkan semakan dokumen tiket pulang serta penginapan sepanjang tempoh berada di Malaysia manakala masalah terakhir yang dikesan adalah kerana habuan rasuah yang lumayan," katanya.


Justeru, Azam berkata, SPRM mencadangkan kepada JIM supaya pegawai yang bertugas di KLIA Terminal 1 dan 2 termasuk penyelia tidak dibolehkan membawa telefon bimbit ketika bertugas.


Katanya, ia bagi mengelakkan mereka mudah dihubungi pihak lain.


"Perlu diwujudkan jaringan perhubungan komunikasi lain sepanjang bertugas.

"Jadual penetapan pegawai di kaunter dibuat ketika pegawai masuk bertugas dan sudah berada di zon kaunter. Mungkin penetapan boleh dibuat oleh pihak lain," katanya.



Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel