Sindiket 'counter setting': 3 pegawai imigresen direman 7 hari

Tarikh: 16/04/2025
img

KUANTAN: Tiga pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana disyaki menjadi sebahagian daripada sindiket membawa masuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), membabitkan rasuah melebihi RM10 juta.

Tiga individu, termasuk seorang wanita berusia 40-an itu ditahan secara berasingan di Kuala Lumpur; Nilai, Negeri Sembilan dan Johor Bahru, Johor, semalam.

Menurut sumber, sindiket dipercayai membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di pintu masuk negara bermula 2021 hingga 2024.

"Sindiket ini dipercayai meraih wang rasuah jutaan ringgit yang turut diagihkan kepada anggota imigresen yang lain.

"Mereka ini menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan menerusi modus operandi 'counter setting' di Terminal 1 dan 2 KLIA," menurut sumber itu.

Susulan penahanan itu, suspek direman tujuh hari sehingga 21 April ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan lebih RM10 juta.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria selepas permohonan dibuat oleh SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel