Siasatan UiTM Holdings: SPRM sahkan sudah buka beberapa kertas siasatan

Tarikh: 28/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan sudah membuka beberapa kertas siasatan berkaitan isu yang mengakibatkan kerugian dialami UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings) pada 2023.

Antara projek disiasat SPRM membabitkan pembangunan projek solar 50MW di Gambang, Pahang yang membabitkan bayaran berjumlah RM42 juta.

BH difahamkan, proses siasatan masih berlangsung dan ia masih menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.

Sumber berkata, bagi projek solar 50MW di Gambang, sejumlah RM42 juta dikatakan dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar itu dan dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah.

"Siasatan dalam kes ini membabitkan kompleksiti kes yang tinggi kerana terdapat beberapa perkara membabitkan aspek teknikal.

"Bagi melengkapkan lagi proses penyiasatan, SPRM akan meneliti sekiranya terdapat isu-isu lain yang relevan termasuk kelemahan tatakelola sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) semalam.

"SPRM juga mengesahkan sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan berhubung kes ini," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim bin Aman, ketika dihubungi mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"SPRM akan berusaha menyiapkan siasatan dengan kadar segera secara bebas dan adil," katanya.

Abd Halim juga menyatakan, ketegasan Perdana Menteri dalam usaha melihat dan menyelesaikan kelemahan yang menjadi faktor kerugian ke atas UiTM Holdings Sdn Bhd adalah sesuatu perkara dan keprihatinan yang disambut baik.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan berkata, Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu membuat penilaian semula secara menyeluruh terhadap struktur tadbir urus serta pengurusan anak syarikatnya, UiTM Holdings berikutan prestasi kewangan syarikat berkenaan yang mencatatkan kerugian.

Katanya, usaha itu perlu dilakukan dengan kerjasama Naib Canselor UiTM dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menangani isu kelemahan pengurusan di entiti perniagaan institusi berkenaan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak pejabatnya dan JPM sedia memberi sokongan penuh dan kepakaran yang diperlukan bagi memastikan urusan berkenaan berjalan lancar.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel