KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada pada peringkat akhir melengkapkan siasatan semula kes kematian Teoh Beng Hock.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kertas siasatan sedang diperkemas seperti diarah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dijangka diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat.
"Ini adalah siasatan terhad dari sudut sumber kerana kes berlaku 15 tahun dahulu.
"Ada juga saksi tidak dapat kita temu bual semula," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Operasi/Risikan) JSJ Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus.
Mohd Shuhaily berkata, usaha mendapatkan keluarga mendiang juga berdepan kesukaran kerana mereka tidak memberi kerjasama penuh bagi melengkapkan siasatan.
"Pihak keluarga tidak memberi kerjasama baik untuk memperkemaskan kertas (siasatan) dan semua ini kita akan serahkan kepada DPP," katanya.
Mohd Shuhaily berkata, penggunaan teknologi pengimbas tiga dimensi (3D) bagi membina semula lokasi kejadian tidak banyak membantu siasatan pihak polis.
"Ia tidak dapat memberi gambaran penuh berkenaan perlakuan sebenar dalam 3D kerana memerlukan input daripada saksi.
"Ada saksi tak dapat kita ketemukan dan ada juga yang tidak mahu tampil lagi, jadi beri kita banyak kelemahan dalam 3D itu," katanya.
Beliau berkata, masih ada penemuan yang dapat menyumbang kepada siasatan melalui pendekatan saintifik.
"Cuma lagi yang dapat membantu kita ialah kajian fizik berkaitan darjah dan sudut (ketika mangsa jatuh) dan itu maklumat tambahan yang boleh kita masukkan dalam kertas siasatan (IP)," katanya.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan PDRM melengkapkan siasatan kes kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan.
Perintah dibuat oleh Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan oleh ibu bapa mendiang terhadap Ketua Polis Negara, Pengarah Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia.
Beng Hock yang ketika itu Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Mohd Shuhaily ketika melawat lokasi kejadian di Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor awal Februari lalu, memaklumkan polis menggunakan teknologi pengimbas 3D untuk penghasilan semula tempatan jenayah dalam usaha siasatan semula kes kematian Beng Hock, 15 tahun lalu.