Siasatan khas RCI Tabung Haji: SPRM tahan pengarah syarikat, bekas pengurus ladang

Tarikh: 05/08/2026
img

KUALA LUMPUR: Dua individu pertama membabitkan pengarah syarikat dan bekas pengurus ladang ditahan susulan siasatan khas ditubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyemak serta meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Pengarah syarikat reka bentuk berusia lingkungan 50-an ditahan jam 7.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

BH difahamkan, dia ditahan kerana disyaki merasuah RM300,000 kepada seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) sebuah badan berkanun sebagai balasan untuk mendapatkan projek bernilai keseluruhan kira-kira RM8 juta.

Kesalahan itu disyaki dilakukan antara 2014 hingga 2018, dengan suspek dipercayai memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO berkenaan yang jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM300,000.

Sementara suspek kedua membabitkan seorang bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah kerana disyaki menyeleweng kontrak bernilai kira-kira RM8 juta.

Suspek dipercayai menyeleweng projek pembekalan anak benih getah di dua syarikat perladangan, iaitu anak syarikat badan berkanun berkenaan antara 2015 hingga 2017.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di SPRM malam tadi

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes pertama disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Kes kedua pula disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Putrajaya, Majistret Ezrene Zakariah hari ini membenarkan reman selama dua hari terhadap pengarah syarikat reka bentuk terbabit, manakala suspek kedua direman selama tiga hari.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel