Kota Kinabalu: Siasatan dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang berkait isu pelesenan lombong mineral masih diteruskan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, proses siasatan tetap berjalan seperti biasa walaupun analisis forensik membuktikan video skandal rasuah itu yang tular di media sosial tahun lalu mempunyai unsur suntingan.
Susulan itu, beliau meminta agar semua pihak bertenang, sementara SPRM sedang melengkapkan proses siasatan dan penelitian video yang didakwa tulen oleh pihak tertentu.
"Kami tidak pernah mengatakan kes itu ditutup. Disebabkan itu kami minta semua orang untuk bertenang," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dengan SPRM bertempat di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya meneliti video versi penuh tanpa suntingan yang didakwa diterima penasihat kumpulan hak asasi manusia atau Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya oleh pemberi maklumat Albert Tei.
Katanya, semakan terbabit dilakukan bagi tujuan mengesahkan kredibiliti dan ketulenan video tersebut sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.
"Saya tetap dengan kenyataan saya sebelum ini. Sejak tahun lalu, dan yang terkini pada 9 Disember 2024, saya telah menyatakan bahawa kami memerlukan bukti yang kukuh dan sahih.
"Hari ini, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, mengeluarkan kenyataan bahawa seorang pemberi maklumat telah menyerahkan bukti video kepadanya, yang didakwa sebagai tulen.
"Kami telah memanggil peguam berkaitan ke pejabat kami hari ini untuk menyerahkan bukti video ini bagi siasatan lanjut. Selain itu, kami akan memanggil Albert Tei esok (2 petang) seperti yang disebut secara tidak langsung oleh Latheefa, untuk memberi keterangan dan membantu siasatan," katanya.
Azam dalam pada itu memaklumkan Albert sebelum ini telah dipanggil dan disoal siasat oleh SPRM, namun identitinya tidak pernah didedahkan.
"Mungkin sekarang peguamnya telah membenarkan identitinya didedahkan. Untuk rekod, Albert sudah disoal siasat dalam kes lain oleh SPRM dan polis.
"Tugas kami adalah menyiasat. Keputusan mengenai kesalahan seseorang ditentukan oleh Timbalan Pendakwa Raya. Mereka yang boleh membuat keputusan dan juga siapa yang dihukum atau tidak, ini bukan keputusan kami sebagai penyiasat.