KOTA BHARU: Dua pengurusan tertinggi dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan mengenai kes IJM Corporation Berhad (IJM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata dua individu itu dipanggil untuk melengkapkan siasatan.
Beliau berkata, isu RM2.5 bilion sedang dalam siasatan agensi itu berikutan ia juga disiasat di luar negara iaitu United Kingdom (UK).
"Mereka hantar kepada kami (siasatan RM2.5 bilion). Luar negara siasat, jadi kami juga kena siasat.
"Setakat ini hanya itu (55 akaun dengan nilai kira-kira RM15.8 juta yang dibeku). Kita sudah panggil dua individu terbabit ke pejabat kita.
"Kes ini berlaku lama iaitu sekitar 2015 hingga 2016 iaitu sembilan tahun sudah berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Grand Riverview Hotel di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff.
Terdahulu, media melaporkan, SPRM melakukan penggeledahan berkait konglomerat utama negara, IJM Corporation Berhad dan membekukan 55 akaun dengan nilai berjumlah kira-kira RM15.8 juta.
Difahamkan, empat lokasi termasuk kediaman individu serta pejabat syarikat pembinaan, pembangunan hartanah, infrastruktur dan industri itu digeledah SPRM dalam satu operasi dipanggil Ops Heart.
Sumber : Berita Harian Online