Siasatan isu pemilikan saham Azam Baki hampir selesai, laporan diserah minggu depan - Fahmi

Tarikh: 27/02/2026
img

PUTRAJAYA : Siasatan Jawatankuasa Khas bagi isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, hampir selesai dan laporannya akan diserah minggu depan.

Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata hasil laporan itu nanti, Jemaah Menteri akan menimbang langkah selanjutnya termasuk keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

"Berhubung isu dakwaan salah guna institusi SPRM bagi tujuan manfaat korporat, laporan polis sudah dibuat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan segera untuk mengenal pasti mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

"Jemaah Menteri sudah bersetuju bahawa isu (pemilikan saham Azam dan salah guna institusi) ini amat serius dan mengambil maklum cadangan penubuhan RCI.

"Justeru, Jemaah Menteri akan meneliti laporan jawatankuasa siasatan dan mempertimbang tindakan susulan, termasuk keperluan pelaksanaan RCI," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Penubuhan itu susulan pendedahan Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Azam sudah dipanggil memberi keterangan berkaitan isu pemilikan saham pada 19 Februari lalu.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel