Siasatan 'counter setting' hampir selesai, 14 pegawai AKPS dijangka dituduh - KP SPRM

Tarikh: 01/10/2025
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangka siasatan berhubung isu 'counter setting' membabitkan 14 pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan selesai dalam tempoh kurang tiga minggu sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata sehingga kini seramai 15 pegawai AKPS sudah dipanggil memberi keterangan dengan 14 daripadanya dijangka berdepan pertuduhan di mahkamah.

"Pada Isnin, saya menerima taklimat mengenai perkembangan kes ini. Daripada 15 pegawai yang disiasat, hampir semuanya mempunyai kes kukuh untuk dituduh di mahkamah.

"Siasatan kini memasuki fasa akhir dengan penyediaan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya.

"Dalam proses sekarang, kita tidak ada memanggil sesiapa lagi. Apa yang berlaku sekarang ialah penyiapan kertas siasatan. Saya beri jaminan, tidak sampai tiga minggu daripada tarikh yang saya sebut, kertas siasatan itu akan siap dan saya akan menggesa Timbalan Pendakwa Raya untuk mempercepatkannya.

"Saya tidak mahu menunggu lama kerana isu penguatkuasaan undang-undang dalam negara adalah amat penting, malah perkara ini berkali-kali ditekankan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir di Balai Berita sebagai tetamu dalam segmen Malaysia Hari Ini (MHI).

Sebelum ini, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan seramai 18 pegawai penguatkuasanya direman SPRM.

Semua pegawai AKPS itu bertugas di Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas lanjut, Azam menegaskan isu 'counter setting' bukan sekadar membabitkan tangkapan pegawai yang menerima rasuah, namun apa yang lebih penting adalah untuk memulihkan imej negara terutama di pintu masuk antarabangsa.

"Isu ini bukan hanya mengenai tangkapan. Ia berkait dengan maruah dan imej negara di mata dunia, kerana penguatkuasa barisan hadapan yang berada di pintu masuk adalah wajah pertama Malaysia. Jika mereka terbabit dalam salah laku, ia akan mencalarkan reputasi negara," katanya.

Tambahnya, setakat ini tiada pertambahan rampasan aset baharu yang diperoleh SPRM.

"Namun begitu, tiada pertambahan rampasan aset dalam siasatan kali ini. Tumpuan kita adalah kepada membuktikan kes dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan," katanya.

Ops Rentas dilaksanakan SPRM sejak 9 September lalu.

Seramai 30 individu ditahan dan 27 daripada mereka membabitkan 18 pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam direman.

Suspek ditahan kerana disyaki terbabit sindiket 'counter setting' bagi melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

SPRM turut menyita pelbagai jenis aset seperti kereta dan motosikal, barangan kemas, kepingan emas, peranti telekomunikasi, beg tangan serta jam tangan yang belum dianggarkan nilai keseluruhannya.

SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000 dan membekukan 57 akaun bank membabitkan 48 akaun individu dan sembilan akaun syarikat membabitkan dana lebih RM2.7 juta.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel