KUALA LUMPUR: Dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing dan beberapa dokumen disita selepas serbuan ke atas beberapa premis milik ahli perniagaan, Victor Chin yang didakwa terbabit dengan 'mafia korporat'.
Ketua Pasukan, Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fazlisyam Abdul Majid, berkata siasatan masih berjalan dan nilai keseluruhan sitaan barangan terbabit masih belum ditentukan.
"Antara yang disita adalah dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing dan beberapa dokumen disita menerusi serbuan ke atas beberapa premis Jumaat lalu.
"Kes disiasat membabitkan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Sementara itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berkaitan siasatan kes itu.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan serbuan ke atas beberapa premis milik Victor Chin yang didakwa terbabit dengan 'mafia korporat' dan siasatan lanjut sedang dijalankan membabitkan SC.
Victor pula dilapor berkata, pihaknya menafikan pembabitan dirinya dalam mafia korporat seperti digembar gemburkan.
Minggu lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, memaklumkan Kabinet mengarahkan polis dan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan manipulasi korporat berkenaan.
Arahan Kabinet itu dibuat di tengah-tengah gesaan meluas termasuk daripada menteri kanan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan yang dilaporkan oleh Bloomberg bulan lalu.
Sumber : Berita Harian Online