Seludup diesel Sabah, Sarawak: MATF-SPRM jangka lebih banyak wang rakyat dipulangkan

Tarikh: 23/09/2025
img

PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) menjangkakan dapat memulangkan wang rakyat dalam jumlah yang besar dalam tempoh terdekat susulan operasi membanteras kartel penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak mulai awal bulan ini.

Setakat ini MATF dalam Ops Karen yang diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyelamatkan RM247 juta dalam empat operasi dijalankan beberapa agensi di Sarawak.

Timbalan Pengerusi MATF yang juga Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata jumlah itu tidak menggambarkan keseluruhan aktiviti penyeludupan ke luar negara.

"Seperti yang saya katakan, RM247 juta akan menjadi lebih tinggi kerana jumlah ini hanya sekadar jangkaan tempoh 10 tahun aktiviti itu berlaku termasuk berdasarkan rampasan dan disita dalam Ops Karen. Ia juga operasi di Sarawak sahaja.

"Jika kita lihat, trend penyeludupan di Sabah masih berlaku dan sekiranya ia tidak dibendung maka jumlah kerugian akan mencecah ke satu jumlah yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Azam mengakui kegiatan penyeludupan bahan api itu berpunca daripada harga diesel yang jauh lebih rendah di negara ini, selain masalah rasuah dalam kalangan penguat kuasa yang melindungi kartel berkenaan.

"Berdasarkan pengumuman terbaru Perdana Menteri hari ini, kita dapat melihat harga minyak Malaysia jauh lebih rendah dan murah berbanding negara-negara lain termasuklah Arab Saudi.

"Berlaku pemberian rasuah kepada pihak penguat kuasa yang disyaki melindungi kegiatan menyeludup bahan api ini," katanya.

Ditanya kutipan terlalu kecil berbanding penyeludupan mengakibatkan kerugian penyeludupan bahan api mencecah RM2.4 juta sehari, Azam berkata, MATF akan menjalankan operasi demi operasi pada masa hadapan dan merampas aset-aset yang dikaitkan dengan aktiviti.

Katanya, dalang termasuk penjawat awam juga sedang dikenal pasti oleh pihaknya untuk tindakan selanjutnya.

"Dalam tindakan ini, kita akan melihat kepada kegiatan yang lebih 'obvious' yang mungkin ia tidak dapat dikesan (dalam operasi lain) dan memerlukan tindakan bersama agensi-agensi lain.

"Pihak kita juga sedang mengesan penjawat awam yang bersubahat dalam kes ini dengan satu siasatan berasingan akan dijalankan tidak lama lagi," katanya.

Mengulas mengenai Ops Karen, Azam berkata, ia adalah operasi membabitkan beberapa agensi iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan Jabatan Laut dengan bantuan aset daripada Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Dalam operasi yang membabitkan lebih 100 pegawai ini, seramai enam individu terdiri daripada pengarah syarikat dan dua pengurus syarikat ditahan.

"Kita membekukan sejumlah 498 akaun bank membabitkan nilai RM110 juta dan membuat sitaan antaranya lima unit vesel (RM52 juta), 4.5 juta liter minyak diesel (RM9.7 juta), sembilan unit jam tangan (RM1.2 juta), satu jongkong emas seberat 500 gram (RM260,500), 17 unit kereta mewah (RM5.6 juta) dan 40 bidang tanah (RM11.3 juta).

"Operasi MATF ini juga tidak berjaya tanpa kerjasama ATM yang menyediakan aset seperti kapal dan helikopter serta anggota dalam menjayakan operasi ini," katanya.

Katanya, MATF akan menggunakan pelbagai bidang kuasa undang-undang dalam siasatan itu termasuk Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 (permintaan wang rasuah bernilai puluhan ribu ringgit), Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (pemberian wang rasuah bernilai puluhan ribu ringgit), Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (permintaan wang rasuah oleh badan awam).

Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Amalan syarikat komersial memberi rasuah bagi mengekalkan kontrak tender pembekalan minyak diesel komersial), Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Tuntutan palsu berkaitan pembekalan minyak diesel bernilai RM9 juta) dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 (Penyeludupan 14 juta liter minyak diesel sejak 2023).


Sumber:Beita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel