KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan 24 individu berkait isu penyeludupan barang berbahaya melalui kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang disyaki mempunyai unsur rasuah.
Menurut sumber, mereka yang dirakam percakapan terdiri daripada pekerja tiga syarikat serta pegawai dan kakitangan tiga agensi penguat kuasa yang beroperasi di KLIA.
"Siasatan dijalankan berikutan kegiatan membawa masuk barang berbahaya berkenaan yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP), meletakkan kawasan KLIA terdedah kepada isu ancaman keselamatan.
"Berdasarkan siasatan awal, barangan berbahaya iaitu bahan kimia ini dibawa masuk dengan diikrarkan sebagai produk aksesori atau isi rumah," kata sumber.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin, berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti kelemahan dalam aspek tata kelola yang membolehkan kemasukan barangan berkenaan.
Katanya, siasatan dibuat bagi mengenal pasti punca kelemahan tata kelola yang menyebabkan bahan kimia berkenaan mudah dibawa masuk tanpa mengikut peraturan sewajarnya.
"Satu kertas siasatan tata kelola turut dibuka oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) bagi melihat aspek kelemahan tata kelola, pentadbiran pengurusan dan penguatkuasaan," katanya.
Siasatan SPRM terhadap isu ini bermula awal tahun ini selepas menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan bahan berbahaya ke negara ini melalui kargo di KLIA.
Bahan berkenaan yang terdiri daripada bahan kimia dikesan dibawa masuk tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sekali gus mewujudkan risiko keselamatan serius di lapangan terbang utama negara itu.
Maklumat awal menunjukkan berlaku kelemahan dalam pengurusan serta kawalan penguatkuasaan di pintu masuk utama itu, yang membuka ruang kepada unsur rasuah dalam kalangan pihak bertanggungjawab memantau kemasukan barangan.
Kegiatan itu turut dikaitkan dengan sekurang-kurangnya dua insiden kebakaran pada 2024 yang dipercayai berpunca daripada bahan kimia, sekali gus mencetuskan kebimbangan awam mengenai tahap keselamatan operasi kargo di KLIA.
Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Sumber BH O.