PUTRAJAYA: Mendiang Kee Kok Thiam yang juga sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, sebelum kematiannya, pernah mengaku risau mungkin berdepan siasatan oleh pihak berkuasa kerana mendepositkan wang ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak.
Kok Thiam juga mengesahkan pernah beberapa kali di antara tahun 2014 hingga 2015, melakukan deposit tunai secara kaunter ke dalam akaun Ambank milik bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu.
Perkara itu dinyatakan Kok Thiam dalam kenyataan beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekembalinya ke Malaysia selepas menghilangkan diri, yang dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan di Mahkamah Tinggi hari ini.
Kenyataan itu dibacakan Deepa ketika beliau menyoal saksi pembelaan ke-18, iaitu pegawai penyiasat SPRM Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Raywell Anduroh, dan ia disahkan saksi kemudian.
Raywel berkata, pada tahun 2023, beliau merekodkan kenyataan daripada Kok Thiam yang mengakui memasukkan wang tunai ke dalam akaun Najib seperti yang diarahkan oleh Nik Faisal Ariff Kamil.
Nik Faisal adalah Bekas Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB yang juga pemegang mandat iaitu individu yang diberi kuasa untuk menguruskan akaun Najib.
Kenyataan Kok Thiam itu menyatakan: "Semasa berada di Phuket, kami mendapat tahu bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan kami risau sekiranya Datuk Seri Najib akan disiasat.
"Jho Low meminta kami untuk tidak kembali ke Malaysia terlebih dahulu bagi melihat keadaan semasa politik di Malaysia.
"Jho Low ada memberitahu saya bahawa sekiranya Datuk Seri Najib disiasat dan saya kembali ke Malaysia, saya mungkin akan disiasat atas sebab mendepositkan wang ke dalam akaun Datuk Seri Najib,"
Pada tahun 2023, polis mengklasifikasi kematian Kok Thiam sebagai mati mengejut (SDR), disebabkan faktor kesihatan.
Sebelum itu, Kok Thiam dihantar pulang ke Malaysia dari Macau kerana tinggal lebih masa.
Al Jazeera melaporkan bahawa Kok Thiam memberitahu SPRM, beliau bertemu Jho Low dan buruan kes 1MDB lain termasuk Eric Tan Kim Loong (sekutu Jho Low) , Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Geh Choh Heng (bekas pegawai 1MDB) dan Nik Faisal di Macau.
Pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd, bekas Pegawai Perhubungan Ambank, Krystle Yap Wy Sze dalam keterangannya, berkata beliau diarahkan membantu mempercepatkan transaksi perbankan sekutu Jho Low iaitu Kok Thiam untuk 'potong barisan' dan memindahkan sejumlah besar wang ke dalam akaun Najib.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa depan.
Sumber BH Online