KUALA LUMPUR: Penggubalan Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan dengan memfokus kepada pendanaan ketika kempen pilihan raya.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata cadangan itu sudah diutarakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
"Pada pendapat saya, undang-undang ini sangat ideal ketika ini memandangkan beberapa siri pilihan raya akan bermula tidak lama lagi.
"Saya beritahu kepada Datuk Seri Azalina, elok untuk mula dengan kecil. Mula dengan projek permulaan. Di Malaysia, kita ada pilihan raya umum (PRU) setiap lima tahun dan banyak pilihan raya kecil (PRK). Mulakan dengan ini dahulu.
"PRU juga hanya dua tahun setengah lagi. Elok undang-undang itu dibahaskan sekarang, dibawa ke Parlimen. Ketika ini, setakat saya tahu, undang-undang pendanaan politik ini tersekat pada peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas," katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru yang disiarkan secara langsung Astro Awani, malam tadi.
Azam berkata, sebagai penjawat awam, beliau turut mempunyai persepsi berbeza dan persoalan mengenai punca undang-undang itu lambat digubal.
"Saya tidak tahu apa masalahnya. Apabila masih tersekat dengan pelbagai perbincangan, saya sebagai pegawai kerajaan dan penguatkuasaan ada pula timbul persepsi lain. Kenapa lambat?
"Draf rang undang-undang (RUU) berkenaan adalah komprehensif dan ia memerlukan penguatkuasaan secara bertahap dengan mengambil masa lebih lama.
"Contohnya, setiap pemberian sumbangan dan dana kepada parti politik perlu dilaporkan. Saya hendak beritahu, parti politik dalam negara kita di setiap cawangan dan bahagian ada akaun (bank) mereka sendiri," katanya.
Beliau memberikan cadangan itu sebagai sebahagian langkah penambahbaikan untuk meningkatkan skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Sumber BH Online