Sedekad puluhan kilang haram beroperasi di Teluk Gong, SPRM siasat elemen rasuah - Azam baki

Tarikh: 19/09/2024
img

PUTRAJAYA: Operasi puluhan kilang haram memproses sisa buangan dan kitar semula termasuk e-waste di Teluk Gong, Klang yang mencetus pencemaran kini dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dengan tumpuan utama siasatan menjurus elemen rasuah dan salah guna kuasa mengambil kira operasi premis terbabit yang sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu.


Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika terbukti wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa sehingga mendatangkan pelbagai masalah kepada penduduk sekitar.


Untuk itu, katanya beliau sudah mengarahkan Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus untuk memulakan siasatan terbabit.


"Saya baru tahu pagi ini berhubung maklumat ini dan saya pun sudah mengarahkan Pengarah Perisikan (SPRM), Datuk Zainul untuk hantar pegawai mendapatkan maklumat lanjut.


"Saya beri jaminan di sini SPRM akan bertindak sekiranya perkara yang tidak dipantau ini ada isu-isu rasuah atau salah guna kuasa, terutama membabitkan pihak berkuasa dan kami akan menjalankan siasatan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.


Media sebelum ini melaporkan penduduk sekitar Teluk Gong berdepan masalah pencemaran dan bau busuk dipercayai berpunca kilang haram memproses sisa buangan termasuk 'e-waste' yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.


Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) awal bulan ini turut menggempur tujuh kilang memproses sisa elektronik atau 'e-waste' yang disyaki dibawa masuk dari luar negara secara haram.


Kilang terbabit dipercayai beroperasi secara haram sejak awal tahun ini di sekitar Teluk Gong, Klang Selatan dengan memproses sisa seperti barangan logam, plastik dan juga e-waste.


Mengulas lanjut, Azam berkata SPRM akan meneliti pelbagai aspek lain membabitkan isu itu.


"Walaupun tidak ada laporan, itu tidak menjadi masalah kepada kami... yang penting di sini adalah penyaluran maklumat apatah lagi kalau disebut ini betul, kalau sekiranya dah 10 tahun tidak dipantau dan sebagainya.


"Jadi SPRM akan melihat perkara ini kenapa selama 10 tahun tidak dipantau dan kenapa ia berlaku," katanya.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel