KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, bahawa Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad memintanya membayar RM350,000 secara tunai bagi sebahagian komisen lima peratus, selepas membantu syarikat Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NXG) mendapatkan tender projek Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Urusan NXG, Wan Azhar Mohamed Yusof, 51, memaklumkan bahawa permintaan itu dibuat oleh bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu ketika Wan Azhar berada di pejabat lama syarikat NXG di Shah Alam, pada awal Disember 2020.
"Sayed (Sayed Amir Muzzakkir) menghubungi saya dan bertanya kepada saya: 'Boleh tak kau bayar 350k (RM350,000)? Aku nak pakai duit ni, cash (tunai)'. Saya memaklumkan kepada Sayed bahawa saya boleh bayar, namun bukan secara lumpsum (sekali gus).
"Saya juga memaklumkan kepada Sayed bahawa saya akan bayar dua kali dan Sayed bersetuju dengan cadangan itu," katanya.
Beliau yang juga saksi utama pendakwaan berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Sayed Amir Muzzakkir yang menghadapi tiga pertuduhan membabitkan nilai RM350,000.
Saksi ke-16 pendakwaan itu berkata, beliau mengarahkan Pengurus Kewangan, Chloe, untuk menyediakan baucar pembayaran berjumlah RM100,000 dan RM250,000 masing-masing pada 4 dan 8 Disember 2020, untuk membayar sebahagian komisen lima peratus kepada Sayed Amir Muzzakkir secara tunai, sebelum Chloe mengeluarkan cek tunai.
Wan Azhar berkata, selepas menunaikan cek berkenaan, beliau menghubungi Sayed Amir Muzzakkir untuk memaklumkan mengenai penyerahan wang berkenaan dan Sayed Amir Muzzakkir memintanya menyerahkan wang itu di pejabat tertuduh di Yayasan Tanah Aku di Publika.
"Saya menyerahkan wang berjumlah RM100,000 yang berada dalam beg kertas kepada Sayed sekitar jam 4 petang 4 Disember 2020, dan wang berjumlah RM250,000 juga dalam beg kertas diserahkan pada jam 3.30 petang 16 Disember 2020. Ketika serahan itu, hanya saya dan Sayed berdua saja," katanya.
Terdahulu, Wan Azhar berkata, beliau mengenali Sayed Amir Muzzakkir pada 2009 ketika Sayed Amir Muzzakkir mula bekerja sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malsalink Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Dasar Jati Sdn Bhd (DJSB), manakala Wan Azhar memegang jawatan Pengurus Besar DJSB.
Wan Azhar berkata, pada April 2020, Sayed Amir Muzzakkir menghubunginya selepas mengetahui syarikat NXG menerima surat pelawaan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyertai tender projek RMPNet.
"Sayed ada menghubungi saya dan bertanya kenapa tidak hubungi beliau. Sayed memaklumkan kepada saya bahawa beliau ada melihat syarikat saya tersenarai dalam tender untuk projek RMPNet di KDN.
"Ketika itu, Sayed merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (ketika itu).
"Sayed juga memaklumkan kepada saya bahawa hanya saya yang tidak menghubungi beliau, manakala kontraktor lain yang memasuki tender RMPNet ada menghubungi beliau untuk meminta tolong mendapatkan projek berkenaan," katanya.
Wan Azhar berkata, Sayed Amir Muzzakkir memberitahu bahawa beliau boleh membantu syarikat NXG untuk mendapatkan projek RMPNet, dan akan memperkenalkan seorang kawannya untuk berbincang membantu mendapatkan projek itu.
Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir, 43, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar sebagai upah membantu Nexuscorpgroup memperoleh tender RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44 di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, masing-masing pada jam 4 petang 4 Disember 2020 dan 3.30 petang 16 Disember 2020.
Sayed Amir Muzzakkir juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama bagi tujuan serupa di pejabat Nexuscorpgroup Sdn Bhd di Shah Alam pada awal Disember 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung pada 22 September depan.
Sumber : Berita Harian Online