KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, menegaskan beliau tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi berkaitan Program Jana Wibawa.
Tengku Zafrul yang memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan berkata, sebaliknya secara tidak langsung Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kepentingan kepada program berkenaan.
"(Ia) kerana beliau yang memberi saranan kepada Kementerian Kewangan untuk mengkaji program pembangunan Bumiputera itu.
"Sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya tidak pernah memperoleh sebarang keuntungan peribadi dalam bentuk kewangan berkaitan Program Jana Wibawa.
"Saya mengesahkan saya tidak mendapat apa-apa sebarang keuntungan peribadi dan ganjaran dalam bentuk kewangan semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin berkait program itu," katanya.
Tengku Zafrul berkata, sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 di bawah pentadbiran Muhyiddin, hubungan kerja beliau dengan Ahli Parlimen Pagoh itu adalah baik.
Saksi itu berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa pertalian kekeluargaan secara langsung dengan Muhyiddin.
"Saya juga tidak mempunyai apa-apa motif jahat terhadap beliau atau mana-mana pihak dalam memberikan keterangan saya di mahkamah hari ini. Hubungan saya dengan beliau kekal baik sehingga ke hari ini," katanya.
Menurut Tengku Zafrul, objektif program itu ialah untuk merangsang pembangunan kontraktor Bumiputera dan merancakkan sektor pembinaan negara ketika krisis pandemik COVID-19.
Katanya, ia sebagai sebahagian daripada pelbagai pakej rangsangan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam menanganiimpak pandemik berkenaan.
Tengku Zafrul berkata, objektif utama Program Jana Wibawa adalah untuk membantu kontraktor Bumiputera serta pembekal bahan binaan yang terkesan akibat pandemik , di samping memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi dalam sektor pembinaan negara.
Tengku Zafrul selaku saksi pendakwaan ke-11 berkata, pada sekitar suku kedua 2020, terdapat perbincangan bersama Muhyiddin mengenai usaha merangka suatu program untuk merangsang pembangunan kontraktor Bumiputera.
Bagaimanapun, beliau tidak mengingati lokasi perbincangan itu berlaku.
Saksi itu berkata, Muhyiddin meminta pihak Kementerian Kewangan memikirkan kaedah dan prosedur yang sesuai bagi membantu kemelut kontraktor Bumiputera di kala krisis pandemik.
Beliau berkata, susulan itu, Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan (Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan) merangka dan mencadangkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Katanya, ia sebagai suatu landasan ke arah mencapai objektif yang dicadangkan oleh Perdana Menteri dan kaedah perolehan di bawah program itu dibuat secara Rundingan Terus dan Tender Pra Kelayakan.
Tengku Zafrul berkata, kaedah perolehan secara rundingan terus adalah dimana agensi kerajaanmembuat pembelian atau kontrak dengan satu syarikat pembekal dan kontraktor melalui proses rundingan secara langsung, tanpa proses tenderterbuka.
Beliau menjelaskan, kaedah itu adalah tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan dengan syarat dan kelayakan yang tertentu.
Menurut saksi itu, Tender Pra-Kelayakan pula adalah proses tender di mana syarikat kontraktor yang berminat melaksanakan projek kerajaan ditapis terdahulu.
Katanya, ia supaya hanya mereka yang mempunyai pengalaman, kebolehanteknikal, keupayaan kewangan dan pengurusan bagi melaksanakan projek kerajaan sahaja dibenarkan mengambil bahagian di dalam tender yang diseliakan oleh agensi kerajaan berkenaan.
Tengku Zafrul memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan terhadap Muhyiddin, yang berdepan tuduhan menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berkaitan Projek Jana Wibawa.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mula membacakan pernyataan saksinya pada jam 10.05 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Khas Rasuah, Noor Ruwena Md Nurdin.
Tengku Zafrul yang memakai jaket biru, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) kira-kira jam 8.30 pagi sebelum mengambil tempat di kandang saksi sebagai saksi pendakwaan ke-11.
Selesai prosiding pada 25 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, memberitahu wartawan, Tengku Zafrul adalah saksi penting dalam kes itu dan sudah diserahkan dokumen mahkamah berkaitan yang memerlukan kehadiran beliau.
Wan Shaharuddin berkata, keterangan Tengku Zafrul mungkin akan mengambil masa selama beberapa hari.