'Saya akan masuk sendiri beri keterangan pada SPRM, tiada apa perlu disembunyikan' - Rafizi

Tarikh: 05/05/2026
img

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau akan memberi keterangan sendiri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini tanpa ditemani peguam kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.

"Saya akan masuk sendiri (beri keterangan) tanpa peguam. Kita tiada apa yang hendak disembunyikan. Saya yakin tidak ada apa-apa perkara (semasa sesi rakam keterangan diambil) yang memerlukan ia dirujuk kepada peguam.

"Jika keputusan SPRM ialah untuk mendakwa berdasarkan kes kami itu, kami akan pertahankan di mahkamah," katanya kepada media sebelum memasuki bangunan SPRM, di sini, hari ini.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi dirakam keterangan berkaitan siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion di antara Kementerian Ekonomi dengan syarikat ARM Limited UK dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor.

Rafizi berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan berkenaan.

Terdahulu, Rafizi tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira jam 9.31 pagi tadi bagi membantu siasatan kes itu.

Rafizi berkata, kehadirannya ke SPRM hari ini adalah bagi membantu siasatan berhubung satu laporan dibuat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Hari ini saya dipanggil untuk memberi keterangan yang dimaklumkan ia berhubung siasatan satu laporan dibuat satu NGO mengenai kerjasama kerajaan dengan syarikat gergasi yang mereka bentuk cip iaitu Arm Holdings dari UK.

"Saya tak ada maklumat (kes) yang lain selain daripada itu," katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan akan ditahan atau tidak, Rafizi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada SPRM.

"Itu kena tanya SPRM, kita pun tak tahu kes apa, 'angle' mana, sejauh mana," katanya.

Rafizi berkata, beliau juga tidak dapat memberikan sebarang ulasan lanjut berhubung kes itu selepas selesai memberi keterangan nanti.

Katanya, perkara itu selaras peruntukan undang-undang yang mengehadkan pendedahan maklumat.

"Kita tunggu (maklumat lanjut) daripada SPRM atau peguam," katanya.

Beliau berkata, kira-kira lima peguam hadir mengiringinya ketika hadir ke SPRM hari ini diketuai Datuk Yaacob Sam.

Sementara itu, lebih 30 penyokong Rafizi turut hadir di perkarangan SPRM sejak jam 8.40 pagi bagi memberi sokongan terhadapnya termasuk Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu susulan aduan beberapa NGO yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga memberi kesan kewangan kepada kerajaan.

Siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu dikatakan diberi jawatan dalam syarikat asing berkenaan selepas meninggalkan perkhidmatan di sebuah kementerian.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel