Saravanan mahu bicara kes suapan RM1.097 juta dipercepat, tekad bersihkan nama

Tarikh: 28/08/2026
img

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menyifatkan pertuduhan menerima suapan RM1.097 juta yang dihadapi beliau sebagai liar dan bermotif politik.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, beliau terkejut dengan tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, namun nekad membersihkan nama baik melalui perbicaraan di mahkamah.

Katanya, beliau tidak berasa malu dengan pertuduhan berkenaan kerana yakin fakta sebenar akan didedahkan ketika prosiding mahkamah berlangsung.

"Saya langsung tidak rasa malu dengan tuduhan ini sebab apabila fakta keluar nanti, rakyat akan tahu macam mana anda tuduh saya dengan maklumat-maklumat palsu.

"Sabar saja, tidak lama lagi fakta akan keluar. Hari ini saya tidak boleh sebut fakta. Apabila kes ini dibicarakan di mahkamah, fakta akan keluar," katanya pada sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden MIC itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima suapan RM1.097 juta, empat tahun lalu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Dalam pada itu, Saravanan berharap supaya kes berkenaan tidak dilengah-lengahkan dan meminta proses perbicaraan dipercepatkan.

"Saya cuma merayu kepada mahkamah melalui peguam saya, jangan buat kes ini macam kes-kes lain, main tarik, tarik, tarik. Saksi pun tidak ramai, sedikit saja.

"Saya bersedia untuk menghadapi mahkamah dan saya sanggup bekerjasama.

"Yang penting, saya mahu membersihkan nama saya melalui proses perbicaraan yang adil," katanya.

Mengulas mengenai surat yang pernah dihantarnya kepada Perdana Menteri, Saravanan mendakwa, beliau sudah membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri sejak enam bulan lalu.

"Saya bukan minta Perdana Menteri kawal SPRM, saya minta beliau membantu meneliti kes ini kerana saya memang tidak terbabit.

"Sekarang rayuan kedua saya, cepatkan kes ini dan jalankan dalam masa terdekat. Ini membabitkan seorang wakil rakyat dan Timbalan Presiden MIC. Saya ada tanggungjawab terhadap ahli-ahli parti saya," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel