Salwani dibenarkan duduk dalam kandang tertuduh kerana bisul kronik di paha

Tarikh: 22/01/2026
img

KUALA LUMPUR: Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Salwani Anuar @ Kamaruddin dibenarkan duduk dalam kandang ketika tuduhan pengubahan wang haram dibacakan terhadapnya, kerana kesakitan akibat bisul kronik di pahanya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad membenarkan Salwani, 27, duduk dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding pendakwaan selepas peguam bela, Fahmi Abd Moin memohon supaya anak guamnya tidak perlu berdiri untuk menjawab pertuduhan.

Salwani yang sebelum itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) pada jam 8.20 pagi dengan memakai abaya, kasut dan cermin mata serba hitam, dibawa ke bilik Mahkamah Sesyen 8 di aras dua Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menggunakan kerusi roda.

Mengikut prosedur, tertuduh akan dipanggil untuk memasuki kandang tertuduh dan diminta berdiri ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya, sebelum menjawab dakwaan berkenaan.

Rosli yang membenarkan permintaan peguam seraya berkata: "kalau duduk lagi sakit".

Terdahulu, Salwani yang dibawa ke dalam mahkamah daripada bilik saksi, melangkah ke dalam kadang tertuduh apabila dipanggil, dan berdiri seketika untuk menghadapi pertuduhan sebelum Fahmi meminta anak guamnya dibenarkan duduk.

"Tuan, saya harap Salwani dibenarkan duduk, kerana dia mengalami kesukaran untuk berdiri kerana sakit di paha akibat bisul yang kronik.

"Pagi tadi, dia hadir ke mahkamah dengan menggunakan kerusi roda," katanya.

Salwani kemudian mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000, pada 2024 dan tahun lalu.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel