KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, akan disambung semula esok.
Perbicaraan itu akan mendengar keterangan daripada saksi penting iaitu Datuk Seri G Gnanaraja, 44.
Saksi pendakwaan ke-37 itu akan memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwii
Pada 28 Ogos lalu, Gnanaraja mengaku berkhidmat untuk Lim Guan Eng dengan menubuhkan sebuah syarikat dan membuka akaun bank seperti yang dipohon bekas Ketua Menteri itu.
Sebelum ini, dalam pernyataan saksi yang dibacakannya, ahli perniagaan itu menyatakan pembukaan akaun syarikat Bumi Muhibah dibuat bagi memenuhi permintaan Guan Eng untuk menyalurkan wang hampir RM30 juta.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Sumber : Berita Harian online