Saksi nafi kunjungan pasukan siasatan ke Arab Saudi sudah dirancang, memihak Najib

Tarikh: 19/02/2025
img

PUTRAJAYA: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan kunjungan pasukan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke Riyadh, Arab Saudi adalah untuk menyelaraskan siasatan yang berpihak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Fikri Ab Rahim menyatakan demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Fikri adalah salah seorang pegawai siasatan yang ditugaskan untuk pergi ke Riyadh antara 27 hingga 29 November 2015 untuk mengesahkan ketulenan empat surat derma daripada Arab Saudi dan menemuramah Putera Arab, Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud (Putera Saud, iaitu individu yang dikatakan menandatangani surat derma Arab kepada Najib.

Menurut Ahmad Akram, Fikri mengetahui bahawa beliau dan pasukan siasatan akan ke Arab Saudi hanya untuk mengambil keterangan daripada Putera Saud dan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) yang sudah tersedia dan hanya akan mengambilnya.

Ahmad Akram juga mencadangkan disebabkan itu, proses untuk mengambil keterangan daripada dua individu berkenaan hanya mengambil masa selama 20 dan 25 minit seperti dinyatakan saksi pada prosiding minggu lalu.

Saksi kelapan pembelaan itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan dan menyatakan bahawa Pegawai Perakam SPRM, Mohd Hafaz Naza berkelayakan dan cekap mengambil keterangan terbabit.

Ahmad Akram: Saya rasa tuan adalah sebahagian daripadanya untuk pergi ke sana dan potong serta tampal (kenyataan) dan bawa balik.

Fikri: Saya tidak setuju.

Ahmad Akram: Anda berbuat demikian kerana ia (Najib) adalah perdana menteri ketika itu. Itulah sebabnya ia telah dirancang sebelum anda pergi ke sana dan mengambil (keterangan) dan kembali

Fikri: Saya tidak bersetuju.

Ahmad Akram: Oleh kerana peranan anda ini, anda telah diberi kenaikan pangkat yang pantas dalam SPRM.

Fikri: Saya tidak bersetuju.

Fikri sebaliknya ketika disoal semula oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menjelaskan kenaikannya ditentukan oleh SPRM dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Katanya, ketika siasatan dijalankan beliau sudah menjawat gred 54, dan kenaikan dikatakan agak pantas ialah kenaikan pangkatnya daripada Gred 41 ke Gred 54.

Pada prosiding Khamis lalu, Fikri memberitahu mahkamah, beliau mula menjawat jawatan sebagai Ketua CawanganPencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) pada tahun 2009 sebelum dinaikkan pangkat kepada Timbalan Pengarah Bahagian Sektor AMLA selepas cawangan itu dinaik taraf.

Pada tahun 2016, beliau telah menjawat jawatan Pengarah Pertama Bahagian AMLA dan Pelucutan Hak Harta dan gred perkhidmatannya terkini ialah Jusa C (dinaikkan pangkat pada 2017).

Beliau ketika ini dicutikan oleh SPRM sehingga Ogos ini.

Selain Fikri, turut serta dalam rombongan ke Arab Saudi ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki; Penolong Pesuruhjaya, Mohd Nasharudin Amir, Mohd Hafaz dan bekas Ketua Pesurujaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mewakili Jabatan Peguam Negara.

Fikri memberi keterangan pada perbicaraan kes penyelewengan skandal 1MDB dihadapi Najib, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pada prosiding lalu, Fikri berkata wakil Putera Arab, Abdullah Al-Koman memaklumkan, Putera Saud mengaku beliau adalah penulis surat bagi tujuan derma kepada Najib.

Menurut beliau, meskipun pengesahan sudah diperoleh dari keluarga diraja Arab Saudi, siasatan masih diteruskan bagi membolehkan agensi tersebut memperolehi keterangan lain.

Saksi itu berkata, beliau boleh merumuskan pihaknya berpuas hati dengan kenyataan wakil putera Arab, bagaimanapun siasatan masih diteruskan berkaitan derma itu sehingga betul-betul dapat keterangan yang lebih kukuh.

Katanya, Azam memaklumkan bahawa mereka masih perlu mendapatkan keterangan lain selain keterangan putera Arab dan dokumen 'derma' terbabit.

Fikri berkata, pada pertemuan itu, pasukan siasatan hanya dibenarkan merekod keterangan putera Arab melalui wakilnya kerana mereka dilindungi imuniti (kekebalan).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 20 Februari ini.


Sumber BH Online



MACC FM
My Anti-Corruption Channel