Sabitan rasuah kekal: Bekas penolong pengurus akhbar harian mula jalani hukuman penjara

Tarikh: 07/03/2025
img

Putrajaya: Seorang bekas penolong pengurus di jabatan pengarang akhbar harian berbahasa Inggeris The Star, mula menjalani hukuman penjara 20 bulan hari ini selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan menerima rasuah berjumlah RM20,000, lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan M Youganesparan untuk mengenepikan sabitan terhadap dirinya, namun membenarkan pengurangan hukuman penjara daripada 30 bulan kepada 20 bulan.

Mahkamah mengekalkan denda RM100,000 dikenakan Mahkamah Sesyen terhadap Youganesparan, dan sudah dibayar lelaki itu.

Youganesparan, 62, sebelum ini dibenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, sementara menunggu proses rayuan selesai.

Azmi yang membacakan keputusan mahkamah itu berkata, sabitan terhadap Youganesparan berhubung kesalahan tersebut adalah selamat dan rayuannya terhadap sabitan tidak mempunyai merit.

Beliau berkata, pembelaan Youganesparan menafikan menerima wang itu sebagai rasuah dan mendakwa ia berkaitan dengan transaksi perniagaan, adalah penafian semata-mata.

Beliau juga menolak hujahan pembelaan bahawa Youganesparan tidak mendapat perbicaraan adil kerana diwakili peguam tidak cekap di Mahkamah Sesyen.

Pada 17 Disember 2018, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan denda RM100,000 atau jika gagal 18 bulan penjara terhadap Youganesparan selepas mendapatinya bersalah menerima rasuah RM20,000 daripada Mohd Emir Mavani Abdullah, sebagai dorongan agar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup kes terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dome Cafe, Vista Power, The Intermark, Jalan Tun Razak di sini pada 9.15 malam 30 Mei 2017.

Rayuan Youganesparan di Mahkamah Tinggi ditolak pada Februari 2021.

Pada prosiding hari ini, Youganesparan diwakili sepasukan peguam diketuai M Manoharan manakala Timbalan Pendakwa Raya SPRM Natrah Fareha Rahmat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Siti Amirah Muhammad Ali, mewakili pendakwaan.


MACC FM
My Anti-Corruption Channel