KOTA KINABALU: Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) sudah memulakan prosiding undang-undang bagi menangani dakwaan serius salah laku dan pecah amanah membabitkan bekas kakitangan syarikat itu dan pihak luar.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang mengurus sektor perlombongan di Sabah itu mengambil tindakan berkenaan di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan ganti rugi atas penipuan, pelanggaran tugas fidusiari dan kerahsiaan.
Menerusi satu kenyataan, di sini, malam ini, SMM menjelaskan tindakan itu juga sebagai tindak balas terhadap gangguan dokumen rasmi, konspirasi untuk mencederakan dengan cara menyalahi undang-undang dan potensi pakatan sulit dengan pihak ketiga.
Syarikat itu menjelaskan, tindakan berkenaan ditujukan kepada semua bekas pekerja yang terbabit dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMM, Jontih Enggihon @ Jontih Inggihon serta pihak ketiga, Tei Jiann Chieng yang turut dikenali sebagai Albert Tei.
"SMM mengambil tindakan ini bagi melindungi kepentingannya, selain kepentingan kerajaan negeri dan rakyat Sabah.
"Syarikat akan terus mengekalkan piawaian tertinggi tadbir urus korporat dan kekal bertanggungjawab kepada negeri dan rakyat," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut, laporan berkaitan salah laku membabitkan bekas CEO SMM, bersama potensi pakatan sulit dengan pihak ketiga juga sudah dibuat dengan agensi penguatkuasa yang berkaitan.
Laporan itu, jelasnya termasuk dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi menyokong siasatan meluas terhadap perkara itu dan pematuhan terhadap obligasi undang-undang.
"Syarikat kekal komited menegakkan integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan sumber mineral Sabah serta memastikan semua operasi sejajar dengan undang-undang dan piawaian etika," kata kenyataan itu.
SMM menjadi perhatian selepas Enggihon mendedahkan dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam syarikat itu, berkaitan pengurusan pelesenan bagi aktiviti perlombongan mineral di negeri ini.
Pendedahan itu dibuat menerusi satu rakaman video disebarkan sebuah portal berita baru-baru ini oleh pemberi maklumat sama dalam penyebaran video Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didakwa terbabit dalam kes rasuah berhubung isu mineral.