Rosmah masih ada satu kes rasuah di peringkat rayuan

Tarikh: 20/12/2024
img

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan gagal isytihar cukai pendapatan dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini masih menghadapi satu lagi kes di peringkat rayuan.


Ia membabitkan rayuan beliau di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kes rasuah solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.


Oktober lalu, peguam mewakili Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader, memohon penangguhan untuk kes terbabit.


Sebelum itu, Akberdin pernah memohon untuk mahkamah mendengar dahulu rayuan Rosmah berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan hakim itu daripada mendengar kesnya.


Permohonan untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini dibuat dua hari sebelum keputusan dijadual diumumkan atas alasan kononnya penghakiman kes didakwa bocor.


Pendengaran untuk menggugurkan hakim itu dijadualkan pada 5 Mac 2025.


Akberdin turut mengemukakan hujahan setebal 700 muka surat berhubung rayuan berkenaan.


Pada 1 September lalu, Hakim Mohamed Zaini memutuskan Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.


Rosmah, 73, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak yang bermakna beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun.


Dia juga didenda RM970 juta dan kegagalan membayar denda boleh dihukum penjara 30 tahun.


Rosmah didakwa meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.


Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan Rosmah di Mahkamah Rayuan.


Rosmah turut berhadapan saman daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lima anak syarikat serta empat yang lain berhubung ribuan barangan mewah bernilai AS$346 juta didakwa dibeli menggunakan dana syarikat itu yang diselewengkan.


Semua syarikat terbabit yang bertindak selaku plaintif turut menuntut isteri bekas perdana menteri itu membayar AS$346,010,489 atau sejumlah amaun yang ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi.


Semua plaintif ialah 1MDB dan lima anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd.


Plaintif lain adalah syarikat pesisir luar iaitu Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.


Saman itu menamakan Rosmah sebagai defendan pertama manakala Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan kedua.


Plaintif mendakwa barangan mewah berkenaan, iaitu antara lain ribuan item jenama barang kemas, jam tangan dan beg tangan, dibeli oleh atau untuk Rosmah, bukan dengan wang sendiri tetapi dengan dana yang diselewengkan daripada anak syarikat 1MDB.


Sumber: Berita Hariam

MACC FM
My Anti-Corruption Channel