KUALA LUMPUR: Wang tunai melebihi RM169 juta yang didakwa milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini secara rasmi dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Jumlah itu membabitkan pelbagai mata wang, iaitu RM14,772,150; SG$6,132,350; AS$1,461,400 dan CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); GBP£50,250; NZ$44,600; AED34,750,000 (Emirati Dirham) dan AUD352,850.
Hakim Suzana Hussin membuat perintah supaya wang tunai berkenaan diserahkan kepada kerajaan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat berikutan tiada pihak ketiga berkepentingan hadir bagi mencabar prosiding melucut hak harta itu.
Pada prosiding 8 September lalu, mahkamah diberitahu, Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus yang dinamakan sebagai responden, tidak berhasrat mencabar permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang tunai yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sehubungan itu, Suzana memutuskan, oleh kerana kedua-dua responden tiada bantahan dan tiada sebarang tuntutan dibuat pihak ketiga, mahkamah membenarkan wang terbabit dilucut hak kepada kerajaan mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM.
Terdahulu, Mahadi memberitahu mahkamah, Warta Kerajaan Persekutuan telah disiarkan pada 22 September lalu dan difailkan secara e-kehakiman.
"Pada hari ini, tiada mana-mana pihak ketiga hadir membuat tuntutan ke atas aset itu," katanya.
Warta pihak ketiga merujuk proses yang mana mahkamah mewartakan notis memaklumkan kepada mana-mana pihak yang mungkin mempunyai hak atau kepentingan terhadap harta yang sedang disita atau dirampas oleh pihak berkuasa.
Dalam kes berkenaan, SPRM memohon perintah mahkamah untuk melucut hak wang yang disita daripada Mohammad Anuar kepada Kerajaan Malaysia.
Menurut notis yang difailkan, permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM selepas suruhanjaya itu berpuas hati wang yang disita dan disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan mengikut Seksyen 36(2) ASPRM 2009.
Seksyen 36(2) adalah berkaitan dengan kegagalan mematuhi notis yang dikeluarkan oleh SPRM untuk mengisytiharkan harta. SPRM turut memohon perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 25 Jun lalu, akhbar melaporkan kesemua aset, termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam safe house yang didakwa berkaitan dengan Ismail Sabri bakal dilucutkan hak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan memohon melucutkan kesemua aset itu dalam masa terdekat.
Pada sidang media Mac lalu, SPRM mempamerkan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah safe house, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.