RM1.66 bilion hasil rasuah, pengubahan wang haram dipulangkan kepada kerajaan - Azam Baki

Tarikh: 23/09/2025
img

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan, menyita dan memulangkan semula sejumlah RM1.66 bilion hasil rasuah, penyeludupan dan pengubahan wang haram kepada kerajaan sepanjang tempoh dua tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata semua rampasan itu membabitkan aset, wang tunai dan barangan berharga dalam pelbagai operasi yang dijalankan Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF).

Sepanjang tahun lalu, beliau berkata, seramai 34 penjawat awam dan 27 orang awam juga ditahan dalam beberapa operasi menangani rasuah, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

"Daripada jumlah itu, seramai 25 penjawat awam berjaya dituduh dengan 352 pertuduhan dan lapan orang dikenakan tindakan tatatertib manakala hasil kutipan diperoleh sebanyak RM705.55 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Pada tahun ini pula, Azam berkata, jumlah keseluruhan wang yang dipulangkan kepada kerajaan adalah RM960.73 juta, hasil daripada enam operasi yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Sekuriti (SC).

"Antara yang dibongkar adalah penyelewengan perolehan kontrak kerajaan membabitkan susu tepung dengan jumlah rampasan RM174.7 juta menerusi Ops White; Ops Knight bagi kes penipuan pelaburan durian di Raub, Pahang (RM16.15 juta); Ops X bagi kes penipuan wang kripto (RM28.6 juta).

"Ops Sikaro bagi kes sindiket penyeludupan rokok dan tembakau membabitkan rampasan RM218 juta; Ops Metal bagi kes sindiket penyeludupan besi dan e-waste (RM332.5 juta); Ops Karen bagi kes sindiket penyeludupan minyak diesel dan petrol (RM190.8 juta)," katanya.

Beliau berkata, SPRM berperanan sebagai penggerak utama MATF dengan tanggungjawab mengurus pengumpulan bukti, mengesan aliran wang dan aset serta mengemukakan permintaan bantuan undang-undang antarabangsa.

"SPRM turut bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kehakiman bagi menyita aset di dalam serta luar negara, selain memastikan aset yang berjaya dipulangkan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan 1MDB," katanya.

Dalam operasi terbaru di Sarawak, Azam berkata, MATF juga memperoleh kerjasama daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Panglima Tentera Darat dan Panglima Tentera Udara atas bantuan serta kerjasama erat yang diberikan kepada SPRM melalui penggunaan aset dan pembabitan anggota dalam menjayakan operasi ini.

"Kerjasama antara agensi seperti ini amat dialu-alukan kerana ia memainkan peranan penting dalam usaha membanteras segala aktiviti yang boleh menggugat kedaulatan Malaysia," katanya.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel