RCI TH: SPRM tahan bekas CEO, CFO syarikat milik badan berkanun

Tarikh: 05/08/2026
img

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat milik badan berkanun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Dua individu masing-masing berusia 68 dan 60 tahun ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.

BH dimaklumkan mereka berdua ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM jam 6.30 petang semalam.

Bagaimanapun, suspek dibebaskan malam tadi atas faktor kesihatan dan akan hadir semula ke SPRM pada jam 10 pagi ini untuk disambung rakaman percakapan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi BH mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

BH semalam melaporkan, dua individu pertama membabitkan pengarah syarikat dan bekas pengurus ladang ditahan susulan siasatan pasukan khas ditubuhkan SPRM menyemak serta meneliti hasil Laporan RCI Tabung Haji.

Pengarah syarikat reka bentuk berusia lingkungan 50-an ditahan jam 7.30 malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

BH difahamkan, dia ditahan kerana disyaki merasuah RM300,000 kepada seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah badan berkanun sebagai balasan untuk mendapatkan projek bernilai keseluruhan kira-kira RM8 juta.

Kesalahan itu disyaki dilakukan antara 2014 hingga 2018, dengan suspek dipercayai memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO berkenaan yang jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM300,000.

Sementara suspek kedua membabitkan seorang bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah kerana disyaki menyeleweng kontrak bernilai kira-kira RM8 juta.

Suspek dipercayai menyeleweng projek pembekalan anak benih getah di dua syarikat perladangan, iaitu anak syarikat badan berkanun berkenaan antara 2015 hingga 2017.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di SPRM malam kelmarin.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel