PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memulakan siasatan susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) dengan menggerakkan lapan pegawai penyiasat ke ibu pejabat institusi itu bagi mendapatkan dan meneliti dokumen berkaitan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata siasatan itu dimulakan susulan saranan Perdana Menteri supaya agensi penguat kuasa mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan laporan RCI yang dikeluarkan baru-baru ini.
"Pasukan penyiasatan sudah memulakan siasatan pagi ini dengan mengenal pasti dokumentasi berkaitan perkara yang dinyatakan dalam RCI serta perkara yang mempunyai kaitan dengan siasatan kami.
"Pada peringkat ini, kami juga sedang mengenal pasti individu yang akan dipanggil untuk dirakam percakapan. Kami akan menyaring dan mengklasifikasikan senarai mereka sebelum dipanggil mengikut aturan siasatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI itu kepada umum, selain memutuskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa diteruskan berdasarkan dapatan laporan berkenaan.
Laporan itu menggariskan 25 syor penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi TH berjaya melaksanakan 75 peratus daripadanya, manakala agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 yang diumumkan baru-baru ini membuktikan institusi itu kini berada dalam keadaan lebih baik.
Susulan itu, SPRM menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti hasil laporan RCI TH yang didedahkan dengan menggunakan dua undang-undang iaitu Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan AMLATFPUAA 2001(Akta 613).
SPRM dalam kenyataan berkata, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar dilantik mengetuai pasukan khas berkenaan bagi meneliti sebarang isu perundangan membabitkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram.
Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, skop siasatan tidak dihadkan kepada tempoh tertentu, sebaliknya akan berpandukan kepada penemuan serta syor yang terkandung dalam laporan RCI.
Beliau berkata, siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan.
Katanya, SPRM juga akan mendapatkan semua dokumen yang difikirkan berkaitan untuk diteliti dan dianalisis bagi membantu siasatan serta merumuskan penemuan kes.
"Mana-mana dokumen yang diperlukan dan mempunyai kaitan dengan siasatan akan diambil untuk dikaji dan diteliti bagi membuat rumusan hasil siasatan," katanya.
Ditanya sama ada SPRM akan memanggil semua pimpinan TH termasuk bekas pemimpin tertingginya, Abd Halim berkata, sesiapa sahaja akan dikenal pasti dan dipanggil untuk diambil keterangan.
Sumber : Berita Harian Online