KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, disambung reman dua hari.
Perintah sambung reman terhadap beliau bermula esok hingga Selasa dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sebelum ini, Jamil Khir direman lima hari hingga 6 September 2026.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Jamil Khir beri kerjasama sejak 2018
Sebelum ini peguam beliau, Datuk Hamidi Mohd Noh berkata Jamil Khir sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak penyiasat sejak 2018.
Katanya, Jamil Khir secara konsisten membantu pihak penyiasat dan tidak pernah gagal memberikan kerjasama sepanjang tempoh berkenaan.
"Beliau ditahan untuk membantu siasatan dan beliau sentiasa memberikan kerjasama.
"Dari 2018 hingga kini, Datuk Seri Jamil sentiasa memberikan kerjasama. Beliau tidak pernah gagal memberikan kerjasama," katanya kepada pemberita selepas prosiding reman di Mahkamah Majistret di sini pada 2 September lalu.
Terdahulu, Majistret Ezrene Zakariah mengeluarkan perintah reman lima hari terhadap Jamil Khir sehingga 6 September ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jamil Khir tiba di mahkamah pada jam 10.26 pagi dengan memakai baju lokap berwarna jingga dan diiringi pegawai SPRM.
Beliau dibawa ke mahkamah menggunakan van SPRM sebelum diiringi masuk ke dalam bangunan mahkamah.
Jamil Khir ditahan kira-kira jam 4.30 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini untuk memberikan keterangan.
Penahanan itu berkaitan siasatan membabitkan pajakan hotel di Arab Saudi serta isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, berkaitan kesalahan meminta atau menerima suapan sebagai dorongan atau ganjaran dalam sesuatu urusan.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang terbabit atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, mengikut Seksyen 24 akta sama.
Laporan RCI berkaitan TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu memperincikan kelemahan dalam pengurusan dan operasi dana haji berkenaan bagi tempoh antara 2014 hingga 2020.
Sumber : Berita Harian Online