KUALA LUMPUR: Alam Maritim Resources Bhd, hari ini mengumumkan pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Datuk Azmi Ahmad direman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Penyedia perkhidmatan kepada industri minyak dan gas itu memaklumkan reman terbabit bertujuan untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan dan bukan disebabkan oleh sebarang salah laku.
"Lembaga pengarah telah mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan kesinambungan operasi kumpulan dan akan membuat pengumuman selanjutnya sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Alam Maritim Resources Berhad mempunyai kaitan langsung dengan RCI Tabung Haji.
RCI Tabung Haji secara khusus menyenaraikan Alam Maritim Resources/TH Marine antara pelaburan lama Tabung Haji yang dicadangkan untuk menjalani audit forensik.
Tujuan audit meneliti bagaimana keputusan pelaburan dibuat dan bagaimana pelaburan berkenaan menyumbang kepada kemerosotan nilai aset TH.
Hubungan TH dengan Alam Maritim bermula sekitar 2009.
Alam Maritim Resources Bhd melalui anak syarikatnya, Alam Maritim (L) Inc, membentuk usaha sama dengan Lembaga Tabung Haji yang dikenali sebagai TH-Alam Holdings (L) Inc.
Usaha sama itu bertujuan membiayai, memiliki dan mengendalikan enam kapal sokongan luar pesisir bernilai kira-kira AS$121.5 juta (RM412 juta ketika itu).
Laporan tahunan TH ketika itu juga mengesahkan bahawa TH memasuki sektor minyak dan gas melalui industri sokongan marin menerusi TH Marine Sdn Bhd dan usaha sama TH Alam Holdings (L) Inc dengan Alam Maritim.
Sumber : Berita Harian Online