RCI TH: Bekas menteri ditahan SPRM kes pajak hotel di Makkah, Madinah

Tarikh: 02/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini, untuk siasatan lanjut susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung pelaburan pajakan hotel bernilai lebih RM1.5 bilion di Makkah dan Madinah.

Bekas menteri dalam lingkungan usia 60-an yang pernah menjaga hal ehwal berkait TH itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Beliau ditahan bagi membantu siasatan sedang dijalankan SPRM berhubung isu pajakan hotel pernah dilakukan TH di Arab Saudi yang menjadi kerugian terbesar dalam senarai pelaburan bermasalah dihadapi TH.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dalam kenyataan di Dewan Rakyat, baru-baru ini, berkata melalui perjanjian pajakan bagi tempoh 2015 hingga 2017, TH membayar SR1.4 bilion atau RM1.5 bilion kepada orang tengah untuk memajak empat hotel di Madinah dan Makkah bagi tempoh 10 hingga 18 tahun bagi tujuan penginapan jemaah haji.

"Orang tengah yang sepatutnya mengendalikan keempat-empat hotel berkenaan dan berjanji membayar sewa sebanyak SR2.49 bilion kepada TH, malangnya bayaran terbabit gagal dilunaskan.

"Persoalannya, bagaimana kepimpinan TH ketika itu begitu berani membuat bayaran secara pendahuluan dengan nilai melebihi RM1.5 bilion? Jaminan pelaburan yang disandarkan hanya sekeping nota janji peribadi," katanya ketika menggulung perbahasan RCI TH di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek itu untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen16(a)(A) Akta SPRM 2009.

"Beliau akan dibawa untuk perintah reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok," katanya dalam kenyataan video menerusi TikTok SPRM, hari ini.

Sebelum ini, bekas Pengerusi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, selain bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta beberapa kenamaan lain ditahan SPRM susulan pendedahan Laporan RCI TH itu.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel